Kadar pengangguran belia di Malaysia rendah - Idris Jusoh
Bernama
Mac 19, 2018 16:34 MYT
Mac 19, 2018 16:34 MYT
Kadar pengangguran belia di Malaysia adalah lebih rendah berbanding New Zealand dan Australia, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata kadar pengangguran belia negara adalah 12.4 peratus berbanding New Zealand (14 peratus), Australia (12.5 peratus) dan negara membangun lain seperti Filipina (13.5 peratus) dan Indonesia (19 peratus).
"Kadar kebolehpasaran graduan di negara ini pula adalah sebanyak 79.1 peratus," katanya menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Fong bertanyakan adakah kursus-kursus di Institusi Pengajian Tinggi di negara ini akan disemak semula mengikut kesesuaian dengan kehendak pasaran ekoran kebolehpasaran masa kini masih kurang memuaskan.
Idris berkata kejayaan itu dicapai menerusi kerjasama kementerian dengan pihak industri dalam memastikan tiada pemisahan di antara akademia dan industri, sekali gus melahirkan graduan yang mengikut kehendak industri.
"Sekarang saya jumpa industri dan tanya kepada mereka, apakah yang mereka mahu? Sebab itu kita ada kurikulum fleksibel. Saya percaya dengan kerjasama begitu erat ini, isu-isu kebolehpasaran dapat dipertingkatkan sepenuhnya," katanya.
-- BERNAMA
#Belia
#Dewan Rakyat
#Industri 4 0
#Institusi Pengajian Tinggi
#kebolehpasaran
#Kementerian Pendidikan Tinggi
#Parlimen
#pengangguran