Kadar pendermaan organ di Malaysia amat rendah

Bernama
Oktober 4, 2016 09:20 MYT
Kadar pendermaan organ dan tisu di Malaysia adalah sekitar 0.6 pendermaan per sejuta penduduk iaitu antara yang terendah di dunia. - Gambar fail
Kadar pendermaan organ di Malaysia adalah amat rendah jika dibandingkan dengan keperluan, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr. Abdul Rahim Abdullah.
Beliau berkata untuk pendermaan setelah meninggal dunia, kadar pendermaan organ dan tisu di Malaysia adalah sekitar 0.6 pendermaan per sejuta penduduk iaitu antara yang terendah di dunia.
"Namun, sebagai contoh, kadar kematian di jalan raya di negara ini adalah tinggi iaitu kira-kira 7,000 kematian dicatatkan setiap tahun.
"Seandainya 10 peratus daripada jumlah kematian tersebut merupakan pengikrar dan sesuai menderma organ atau tisu maka ramai pesakit yang memerlukan tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan 'transplant' (pemindahan) mereka.
"Oleh itu, masyarakat juga perlu sedar, sekiranya terjadi kematian, keluarga perlu bersedia untuk mengizinkan keputusan yang telah dipilih oleh pengikrar sebagai penderma organ atau tisu. Maka penting bagi mereka yang ingin menderma selepas kematian memaklumkan niat murni mereka kepada keluarga," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Kesihatan 'A Gift of Life' anjuran Hospital Jelebu sempena Bulan Pendermaan Organ peringkat Daerah Jelebu 2016 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Jalaluddin Alias.
Abdul Rahim berkata Negeri Sembilan mencatatkan bilangan pengikrar penderma organ seramai 16,900 orang iaitu 4.69 peratus daripada 359,918 orang pengikrar penderma organ di seluruh negara dari 1997 sehingga Ogos lepas.
Daerah Jelebu pula katanya terdapat seramai 352 orang telah menjadi pengikrar penderma organ dari 2013 sehingga Ogos lepas.
"Di Malaysia seramai 359,918 orang telah tampil mendaftarkan diri untuk menyatakan hasrat mereka mahu mendermakan organ atau tisu selepas mereka meninggal dunia. Daripada jumlah itu, bilangan pengikrar wanita adalah 204,561 (56.84 peratus) dan selebihnya adalah lelaki.
"Mengikut pecahan bangsa pula, bangsa Cina pendaftar paling ramai iaitu sebanyak 152,113 (42 peratus), Melayu (104,450 atau 29.02 peratus), India (83,648 atau 23.24 peratus) dan lain-lain bangsa (19,707 atau 5.46 peratus)
"Namun, pengikrar bangsa Melayu menunjukkan peningkatan beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.
Katanya untuk pengikrar baharu sehingga Ogos lepas, pengikrar Melayu mendahului iaitu seramai 7,354 orang (42.12 peratus), diikuti Cina (4,108 atau 23.53 peratus), India (3,895 atau 22.31 peratus) dan lain-lain (2,101 atau 12.03 peratus).
Namun, katanya jumlah pengikrar ini hanya mencapai satu peratus daripada 30 juta penduduk Malaysia.
Beliau berkata ketika ini dilaporkan seramai lebih 20,000 pesakit sedang menunggu untuk mendapatkan pemindahan organ termasuk mereka yang menghidapi kegagalan buah pinggang, hati, jantung dan paru-paru.
"Mereka bergantung harapan kepada rakyat Malaysia yang prihatin dan bersedia untuk membantu menyelamatkan nyawa pesakit ini dengan mendermakan organ mereka," katanya.
#derma organ #pendermaan organ #pengikrar organ Malaysia