Kadar pencen pesara tentera sebelum 2004 dikaji semula

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 31, 2019 15:41 MYT
Kadar pencen anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum tahun 2004 akan dikaji semula bagi memastikan mereka menerima bayaran pencen sewajarnya, kata Mohamad Sabu. - Gambar fail
Kementerian Pertahanan sedang mengkaji semula kadar pencen anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum tahun 2004 bagi memastikan mereka menerima bayaran pencen sewajarnya.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, kajian itu dilakukan selepas kementeriannya mendapati terdapat jurang perbezaan ketara dalam bayaran pencen bagi anggota yang bersara sebelum 2004 dengan anggota yang bersara selepas itu.
“Kita akan lihat isu ini bersama Jabatan Perkhidmatan Awam kerana rungutan secara umumnya diterima daripada pesara yang berpangkat tinggi yang mendapat bayaran pencen hampir sama dengan jumlah yang diterima oleh anggota berpangkat rendah yang berpencen selepas itu.
“Pelarasan akan dilakukan lebih kurang dua peratus supaya perbezaan nilai akhir pencen yang mereka terima tidak terlalu ketara," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang ingin tahu usaha Kementerian Pertahanan dalam membela nasib anggota tentera berpencen pada tahun 90-an sehingga 2004.
Mohamad turut memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kementeriannya akan berusaha memberi ganjaran berbentuk pencen selain bantuan RM500 secara one-off tahun ini kepada anggota ATM yang bakal menerima Pingat Jasa Malaysia (PGM) pada 3 November ini.
#anggota #Angkatan Tentera Malaysia #kadar pencen #Mohamad Sabu
;