Kadar pemberian vaksin harian perlu dipertingkat seiring kes jangkitan - Tun M

Israr Khalid
Ogos 4, 2021 05:45 MYT
DR MAHATHIR: Kadar pemberian vaksin harian patut dipertingkat dan dipercepatkan lagi seiring peningkatan kes jangkitan saban hari. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kadar pemberian vaksin harian patut dipertingkat dan dipercepatkan lagi seiring peningkatan kes jangkitan saban hari.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad percaya negara memiliki kemampuan untuk melaksanakannya, namun kerenah birokrasi yang tidak perlu dan melambatkan harus dibuang.
“Kes meningkat sehari 2,000 tapi suntikan tidak meningkat sehari 2,000.
“Sebab itu saya cadang kalau kita boleh buat 500,000 sehari maknanya kita boleh buat 800,000 sehari, kalau betul-betul.”
Mujur katanya hari ini sudah boleh ‘walk-in’ dan terus mendapatkan vaksinasi tanpa perlu menunggu tarikh janji temu seperti dahulu.
Ada beberapa kelemahan yang dilihat beliau perlu diperbaiki, antaranya mengapa mereka yang didapati negatif selepas menjalani ujian saringan tidak terus diberikan vaksinasi dan perlu menunggu tarikh janji temu mereka diberikan menerusi aplikasi MySejahtera.
“Kalau seseorang itu negatif kemudian disuruh pulang dan datang dua minggu lagi, dia balik dan dia (berisiko) akan dijangkiti.
“Jadi ini semua boleh kita betulkan supaya kita dapat kurangkan mereka yang terdedah kepada jangkitan,” tegasnya
Cadangan meningkatkan jumlah pemberian vaksin kepada 800,000 dos sehari itu diajukan beliau pada Isnin, ketika beliau memuji pencapaian program imunisasi negara yang dikepalai oleh Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Walaupun telah diumum bahawa kadar vaksinasi harian di Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia, Dr Mahathir merasakan kita boleh melakukan lebih baik daripada apa yang telah dilaksana sekarang.
Kes meningkat setiap hari, patut suntikan vaksin juga meningkat sama - Tun M
#Agenda Awani #Tun Dr Mahathir Mohamad #kadar vaksinasi #ujian saringan #vaksin #Tun Mahathir #Khairy Jamaluddin #MySejahtera #suntikan
;