Kadar kelahiran, kematian menurun: Malaysia makin pantas jadi negara tua?

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 13, 2024 14:15 MYT
Bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 51,759 kelahiran berbanding 48,973 kelahiran. - Gambar hiasan/Unsplash
KUALA LUMPUR: Jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 10.2 peratus bersamaan 100,732 kelahiran pada suku kedua tahun ini.
Berdasarkan data diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar itu menunjukkan penurunan berbanding 112,197 kelahiran pada suku sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 51,759 kelahiran berbanding 48,973 kelahiran dengan nisbah jantina bagi kelahiran hidup ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Mengulas lanjut, beliau berkata sejumlah 48,460 kematian telah direkodkan pada suku tahun kedua 2024, penurunan sebanyak 5.4 peratus berbanding suku tahun kedua 2023 iaitu 51,234 kematian.
Bilangan kematian bagi lelaki adalah 27,510 manakala 20,950 kematian bagi perempuan. Nisbah jantina bagi kematian ialah 131 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Secara purata, ujar beliau satu kematian direkodkan pada setiap dua minit, manakala 22 kematian direkodkan setiap jam dan 538 kematian sehari pada suku tahun kedua 2024.
Katanya, sekiranya perkara ini berterusan, Malaysia akan menjadi negara tua yang mempunyai rakyat warga emas yang ramai.
"Penduduk Malaysia pada suku tahun kedua 2024 dianggarkan 34.1 juta berbanding suku tahun kedua 2023 (33.4 juta) iaitu peningkatan sebanyak 1.9 peratus.
"Jumlah penduduk terdiri daripada 30.7 juta (90 peratus) warganegara dan 3.4 juta (10 peratus) bukan warganegara.
"Penduduk lelaki meningkat kepada 17.9 juta daripada 17.5 juta pada suku tahun kedua 2023 dan wanita meningkat kepada 16.2 juta daripada 15.9 juta dalam tempoh yang sama," memetik kenyataan itu.
Laporan itu turut menyatakan, nisbah jantina keseluruhan penduduk ialah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan manakala nisbah jantina bagi warganegara ialah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
#Jabatan Perangkaan Malaysia #warga emas #Mohd Uzir Mahidin #negara tua
;