Kadar kebolehpasaran graduan politeknik meningkat
Bernama
Mei 12, 2017 11:52 MYT
Mei 12, 2017 11:52 MYT
Kadar purata kebolehpasaran graduan politeknik telah menunjukkan peningkatan semasa kepada 90 peratus berbanding 88.6 peratus tahun lepas, menurut Jabatan Pengajian Politeknik (JPP).
Timbalan Ketua Pengarahnya (Operasi), Sahbudin Man berkata pihaknya menyasarkan kadar kebolehpasaran graduan politeknik mencapai 95 peratus menjelang 2020.
Justeru, katanya, pembukaan tiga lagi politeknik baharu di Batu Pahat, Johor, Besut, Terengganu dan Politeknik Metro di Tawau, Sabah, tahun ini adalah sejajar dengan peranan institusi pendidikan itu menjadi pembekal tenaga kerja industri terbesar di negara ini.
Menurutnya, pembukaan tiga politeknik baharu itu menjadikan jumlah 36 politeknik di seluruh negara sebagai institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Katanya, politeknik di Batu Pahat dan Besut akan membuka pemgambilan pelajar pada bulan depan manakala Politeknik Metro di Tawau pada akhir tahun ini.
"Penambahan tiga politeknik baharu ini membolehkan politeknik yang wujud sejak 1969 terus menyumbang kepada pembangunan negara dari segi menyediakan tenaga kerja," katanya pada Malam Apresiasi Politeknik Sandakan Bersama Media di sini, malam tadi.
Beliau berkata setiap tahun terdapat 25,000 hinggga 30,000 pelajar politeknik di seluruh negara menamatkan pengajian.
Dalam majlis itu, Pengarah Politeknik Sandakan, Hassan Siraj berkata peranan media tidak dapat dinafikan dalam memberi publisiti kepada politeknik itu.
Katanya, ia membolehkan Politeknik Sandakan dikenali oleh masyarakat awam dengan mengetahui peranannya dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi.
-- BERNAMA