Kadar kebolehpasaran graduan institut pertanian cecah hampir 70 peratus - Mohamad Sabu
Bernama
Mac 16, 2023 17:16 MYT
Mac 16, 2023 17:16 MYT
PUTRAJAYA: Kadar kebolehpasaran graduan institut pertanian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kini mencecah 69.5 peratus, kata Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu.
Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Pertanian Kali ke-11 2023 di sini hari ini, Mohamad berkata kebanyakan graduan terbabit terlibat dalam industri pertanian dan menjadi usahawan agromakanan.
"Bidang pertanian dan agromakanan ini luas, jadi mereka (graduan) boleh pilih sama ada untuk bekerja di mana-mana syarikat atau usahakan perniagaan sendiri," katanya.
Beliau berkata sejak ditubuhkan pada 1969, institut pertanian di bawah kelolaan kementerian itu berjaya melahirkan 22,667 graduan terlatih yang memenuhi keperluan industri.
Graduan institut tersebut juga mengikuti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) agar mereka tidak ketinggalan dalam gelombang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), katanya.
"Saya percaya segala kemahiran dan ilmu yang diperoleh akan membolehkan mereka meneroka lebih jauh dalam industri pertanian melalui aplikasi teknologi terkini dan menyumbang kepada sekuriti makanan serta kelestarian alam sekitar," katanya.
Sementara itu, graduan Institut Pertanian Titi Gantong, Perak, Rohaini Mohd Salman Murugasoo yang kini bekerja sebagai Pengurus Ladang di sebuah syarikat tanaman pokok hiasan dan pembekal alatan pertanian menyifatkan kerjaya tersebut sebagai memenuhi minatnya dalam bidang pertanian.
Anak jati Selangor yang berusia 25 tahun itu pernah mengusahakan ternakan kambing dan mengikuti beberapa siri kursus pertanian bagi melengkapkan diri dalam dunia pekerjaan.
"Saya nampak masa depan dalam bidang ini, malah saya juga bercita-cita untuk membuka ladang sendiri menggunakan teknologi IoT (Internet benda)," katanya yang menerima Anugerah Khas Ketua Pengarah Pertanian 2022.
-- BERNAMA
#Kadar Kebolehpasaran
#graduan institut pertanian
#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
#Mohamad Sabu