Kadar jangka pendek ditutup stabil berikutan operasi BNM

Bernama
Mac 24, 2020 17:27 MYT
Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini. Gambar fail.
Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Lebihan dalam sistem konvensional berkurangan kepada RM43.30 bilion daripada RM46.79 bilion pagi tadi, manakala dalam sistem Islam, ia turun kepada RM22.50 bilion daripada RM27.88 bilion.
Awal hari ini, bank pusat menjalankan satu tender pasaran wang konvensional, satu tender Qard dan dua tender repo berbalik.
Pada 4 petang, BNM menjalankan tender semalaman konvensional bernilai RM43.3 bilion dan tender semalaman Murabahah RM22.50 bilion, kedua-duanya untuk wang sehari.
Bank pusat turut menyemak semula tender semalaman konvensional daripada RM40.8 bilion kepada RM43.3 bilion.
Purata kadar faedah semalaman Islam berada pada 2.48 peratus, manakala kadar satu, dua dan tiga minggu, masing-masing pada 2.53 peratus, 2.58 peratus dan 2.63 peratus.- BERNAMA
#bank #Bank Negara Malaysia #BNM #sistem kewangan
;