Kadar indeks jenayah menurun 4.1 peratus tahun lepas - Ketua Polis Negara
Bernama
Januari 11, 2023 13:24 MYT
Januari 11, 2023 13:24 MYT
KUALA LUMPUR: Kadar indeks jenayah seluruh negara mencatatkan penurunan 4.1 peratus bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas apabila 50,819 kes direkodkan berbanding 52,974 kes sepanjang tempoh sama pada 2021.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pencapaian itu adalah hasil prestasi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengekalkan situasi keselamatan negara berada pada tahap baik dan terkawal.
"Begitu juga dengan usaha giat membanteras dan mencegah kegiatan dadah apabila 141,346 kes dan 163,740 tangkapan direkodkan sepanjang Januari hingga Disember 2022 bagi pelbagai kesalahan narkotik berbanding 108,273 kes dan 129,654 tangkapan bagi tempoh sama pada 2021," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman, di sini hari ini.
Acryl Sani berkata tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) juga merekodkan peningkatan pada tahun lepas melibatkan 1,261 orang berbanding 1,186 pada 2021.
"Ini jelas membuktikan PDRM terus komited untuk memerangi musuh nombor satu negara ini," katanya.
Selain itu, beliau berkata statistik kes jenayah komersial menunjukkan penurunan bagi tempoh Januari hingga Disember 2022 dengan mencatatkan 30,536 kes berbanding tempoh sama pada 2021 dengan 31,490 kes
Katanya, bagi kes berkaitan penyeludupan, migran dan khazanah negara, PDRM merekodkan 2,866 kes membabitkan 5,945 tangkapan dengan nilai rampasan RM495.6 juta sepanjang tahun lepas, berbanding 2,811 kes melibatkan 4,840 tangkapan dan RM445.9 juta nilai rampasan bagi tempoh sama pada 2021.
-- BERNAMA