Kadar gaji peka keperluan isu rumah dan wanita, rapatkan jurang gender - IDEAS
Irfan Faruqi
Mac 8, 2023 18:47 MYT
Mac 8, 2023 18:47 MYT
KUALA LUMPUR: Jurang pendapatan dapat dirapatkan dan kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh negara boleh ditingkatkan dengan pelaksanaan dasar yang peka dengan keperluan wanita.
Pengarah Unit Ekonomi & Perniagaan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Juita Mohamad berkata, apa yang diperlukan oleh wanita adalah akses kepada penjagaan anak yang mencukupi dan kadar gaji yang mencukupi untuk isi rumah dan diri wanita itu sendiri.
"Cabaran wanita untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai ialah ketersediaan sesuatu pekerjaan. Memandangkan peluang kerja bagi buruh mahir hanya 33 peratus sahaja. Manakala majoritinya adalah untuk buruh kurang atau separuh mahir.
"Cabaran lain ialah bias terhadap perkerja wanita walaupun mereka berkelayakan dan menepati ciri-ciri pekerjaan tersebut. Cabaran ketiga, wanita itu sendiri secara tradisionalnya suri rumah dan pengasuh anak-anak," katanya dalam program 100 Hari Kerajaan Perpaduan terbitan Astro AWANI.
Kesannya, jelas Juita, tidak ramai yang boleh meneruskan kerjaya masing-masing selepas sudah berkeluarga. Memandang mereka telah lama di luar pasaran buruh, sukar untuk wanita-wanita ini diserap semula kerana tiada kemahiran baharu yang diperlukan dan pengalaman kerja yang tidak mencukupi.
Selain daripada soal akses penjagaan anak-anak dan pendapatan, Juita turut menekankan soal ketetapan kerja yang lebih fleksibel seperti waktu kerja anjal dan bekerja dari rumah. Meskipun tidak semestinya boleh diaplikasikan dalam semua bidang kerja, ia setidaknya membolehkan wanita cuba memasuki kembali pasaran buruh.
"Ada keperluan segera bagi kita sebagai negara membangun untuk menyerap semula sebanyak mungkin tenaga kerja kerana kita di ambang negara menua. Tujuh peratus populasi kita sudah melebihi 65 tahun dan sekiranya trend ini berterusan, akan menyebabkan kita masuk tahap negara tua.
"Ini agak membimbangkan kerana kita tidak boleh menjana tenaga buruh yang sesuai untuk kadar perkembangan (ekonomi) kita dan (Malaysia) tidak akan boleh mencapai status negara berpendapatan tinggi," tambahnya.
Dalam masa yang sama, Juita mengakui jurang pendapatan ini juga berlaku di negara maju seperti Amerika Syarikat. Antara persepsi yang timbul ialah bias kepada wanita yang akan meninggalkan tempat kerja untuk sementara. Ia dilihat sebagai justifikasi untuk bayaran gaji lebih rendah.
"Gaji sepatutnya setara dengan pencapaian akademik dan pengalaman bekerja dalam bidang masing-masing. (Penetapan gaji) ini berkait rapat dengan jumlah wanita yang berada di kedudukan pengurusan di sesebuah syarikat atau organisasi. Jika kita memperbanyak wanita sebagai pembuat keputusan dalam insitutsi itu, gaji akan dapat disetarakan antara dua jantina tersebut." jelasnya.