Kadar gaji minimum dikaji semula agar kekal relevan - Muhyiddin
Umavathi Ramayah
Mei 1, 2021 10:07 MYT
Mei 1, 2021 10:07 MYT
PUTRAJAYA: Kadar gaji minimum pekerja sedang dikaji semula bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosio-ekonomi semasa.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu gaji minimum dan berusaha membela hak pekerja dengan lebih baik.
"Saya berharap dan menyeru agar semua pihak yang ingin menyuarakan pendapat dan cadangan berkenaan isu ini mengambil bahagian dalam platform yang disediakan," katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja 2021 yang disiarkan secara langsung pada Sabtu.
Beliau menjelaskan ia merupakan antara usaha yang diambil kerajaan melalui tiga strategi utama bagi membantu golongan pekerja yang berdepan kesukaran ketika wabak COVID-19.
Menurutnya, strategi pertama ialah mengekalkan pekerjaan, strategi kedua melindungi hak pekerja, manakala strategi ketiga mencipta peluang pekerjaan.
Muhyiddin dalam pada itu juga turut menjelaskan bahawa kerajaan sedang menambah baik dan meminda undang-undang berkaitan perburuhan, seperti Akta Kerja 1955, dengan meluaskan skop pemakaian kepada semua pekerja dalam sektor swasta tanpa mengira had gaji.
Katanya, ia termasuk memanjangkan cuti bersalin kepada 90 hari dan pemberian cuti paternity selama tiga hari.
"Selain itu, kita juga menambah baik amalan kerja dan kehidupan yang lebih seimbang melalui pengurangan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam selain memperkenalkan aturan kerja fleksibel," ujarnya.
Dalam masa sama, katanya, pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dilaksana dan dikuatkuasakan selain penggubalan Ordinan Darurat (Pindaan) 2021 selaras dengan proklamasi darurat bagi membendung penularan COVID-19 terutamanya yang melibatkan kluster penginapan pekerja.
Ujarnya, melalui Ordinan Darurat yang dilaksanakan, pemakaian Akta 446 itu juga telah diperluas ke Sabah dan Sarawak.
Beliau menjelaskan ia adalah salah satu daripada tiga strategi utama yang digariskan kerajaan dalam membantu meringankan beban serta membantu warga pekerja ketika berdepan dengan kesukaran semasa akibat wabak COVID-19.
#Hari Pekerja
#Muhyiddin Yassin
#Akta Buruh
#pindaan undang-undang
#cuti bersalin
#gaji minimum
#sosio-ekonomi
#COVID-19
#paternity
#aturan kerja fleksibel