Kadar baharu tambang bas masih dalam perbincangan - Aziz
Astro Awani
April 4, 2015 17:33 MYT
April 4, 2015 17:33 MYT
Kementerian Pengangkutan masih dalam perbincangan bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berhubung kadar tambang bas.
Kadar baharu tambang bas seperti diumumkan SPAD masih ditangguhkan pelaksanaannya ekoran keluhan orang ramai yang menganggapnya terlalu tinggi.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi berkata pihaknya akan memastikan kadar tambang bas tidak membebankan rakyat.
Ia bagi menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
“Penangguhan tambang bas itu akan dibincang lebih mendalam dengan beberapa stakeholder yang lain dan Kementerian Pengangkutan juga akan berbincang dgn SPAD untuk membuat perkiraan lebih mendalam bagi memastikan rakyat tidak terbeban.
“Jadi buat masa ini, ia masih ditangguhkan,” Aziz berkata demikian selepas pelepasan fun run sempena Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim almarhum Sultan Iskandar di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Johor.
Terdahulu, SPAD mengumumkan kadar baharu bagi pengangkutan awam termasuk bas dan teksi.
Kadar baharu teksi dilaksanakan, namun pelaksanaan tambang bas baharu ditangguhkan sehingga diberitahu susulan kadar itu yang dianggap terlalu tinggi dan membebankan rakyat.