"Kadang-kadang dapat 2kg, dapat makan ke?" - Nelayan
Hasimi Muhamad
Januari 13, 2020 17:49 MYT
Januari 13, 2020 17:49 MYT
Menghabiskan masa di lautan hampir lapan jam setiap hari, namun hasil tangkapan nelayan di Kampung Sri Serbang, Bongawan sekadar cukup makan.
Kebanyakan mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) terpaksa bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Malah, pendapatan para nelayan di kampung itu semakin terjejas berikutan terdapat aktiviti bagang (sangkar tradisional) yang didakwa dilakukan nelayan luar.
Menurut Muhamad Mat Li, aduan berhubung kegiatan bagang sudah dibuat, namun ia tidak diendahkan.
“Ini masalah bagang, kalau ikutkan satu bagang hanya (diberikan) satu lesen.
“Tetapi sekarang, ratusan bagang berada di bahagian laut (Teluk) Kimanis dan pantai Bongawan,” keluhnya kepada Astro AWANI, hari ini.
Tambah Muhamad, ada segelintir dalam kalangan nelayan hanya membawa pulang tangkapan sebanyak dua kilogram (kg) sehari.
“Kalau sekarang ini kami dapat 10kg pun sudah senang hati. Kadang-kadang (hanya dapat) dua kg, dapat makan ke? Mana dapat makan kalau 2kg?” ujarnya.
Sementara itu, Berahim Muyasin yang sudah 50 tahun menjadi nelayan berkata, kegiatan bagang turut menjejaskan aktiviti perikanan di kawasan Teluk Kimanis dan Bongawan.
“Masalah nelayan sekarang, mereka (nelayan bagang) dapat ikan kecil dan besar.
”Setiap malam bagang itu sudah sampai beratus buah di Teluk Kimanis. Macam mana nak ada ikan.
“Dulu kami tidak susah macam ini jadi nelayan, kalau setakat 20 ikat (100kg) atau 15 ikat (150kg), sekarang dua ikat atau lima ikat pun susah dapat satu hari,” katanya.
Nasib nelayan semakin tersepit khususnya apabila musim tengkujuh, selain bantuan sara hidup yang telah dikurangkan berbanding sebelum ini.
Perkara itu diakui nelayan, Hussin Muyasin yang berharap agar kebajikan para nelayan lebih terbela pada masa akan datang.
“Kalau boleh (bantuan) sara hidup itu tambah-tambah lagi, dan subsidi minyak okay lagi sebab masih ada.
“Kami turun ke laut belum tentu balik (kos) minyak lagi. Ikan belum tentu dapat,” katanya.
Dianggarkan ratusan penduduk di Kampung Sri Serbang menyara hidup sebagai nelayan, selain mengusahakan homestay (inap desa).
Terdahulu, kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi membaik pulih prasarana dan jeti nelayan di Parlimen Kimanis.