Kad Warga Asing belum muktamad, jangan buat andaian terburu-buru - Hajiji

Eleanor Michelle Patrick
Februari 11, 2022 17:36 MYT
Hajiji (gambar) menegaskan, cadangan itu tidak melibatkan pemberian kad pengenalan mahupun dokumen kepada warga asing termasuk memberikan mereka taraf kewarganegaraan. - Foto fail Bernama
KOTA KINABALU: Pemberian Kad Warga Asing (Foreigner Card) kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah bukan keputusan muktamad sebaliknya akan dibincangkan secara lanjut oleh kerajaan negeri.
Tegas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, cadangan itu tidak melibatkan pemberian kad pengenalan mahupun dokumen kepada warga asing termasuk memberikan mereka taraf kewarganegaraan.
Malah menurutnya, pelaksanaan pemberian itu perlu melalui penelitian rapi dengan mengambil kira pandangan dan input daripada semua pihak.
"Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berazam untuk menyelesaikan isu PATI yang berlarutan sejak sekian lama.
"Kerajaan negeri juga berpegang teguh kepada prinsip ketelusan dalam mencari penyelesaian kepada isu PATI dan memastikan semua mendapat maklumat tepat mengenainya.
"Sehubungan itu, adalah lebih baik semua pihak tidak membuat andaian terburu-buru," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Hajiji menjelaskan, pihaknya akan sentiasa berpandukan kepentingan rakyat dan negeri dalam membuat keputusan.
Kata beliau, Kad Warga Asing dan Kad Pekerja Warga Asing telah dicadangkan untuk menjadi dokumen standard bagi semua pemegang IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung yang dikeluarkan sebelum ini kepada pendatang Filipina dan semua pekerja asing yang sah.
“Cadangan kad Pekerja Asing (Foreign Worker Card) antara lainnya akan dikeluarkan kepada semua pekerja asing dalam sektor perladangan, pertanian dan perikanan, pembuatan, pembinaan dan pembantu rumah antara lain.
“Kita perlu mewujudkan pangkalan data pekerja asing supaya ada rekod sistematik mengenai kehadiran mereka di negeri ini,” tegasnya.
Selain itu, Hajiji memaklumkan, beliau akan mempengerusikan Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKNS) manakala Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong akan mengetuai jawatankuasa kerja.
"Pendirian GRS, semua PATI mesti dihantar pulang dan hanya mereka yang bekerja secara sah di negeri ini sahaja akan diberikan kad pekerja asing.
"Pemeriksaan latar belakang akan dilakukan dan mereka yang mempunyai rekod jenayah akan berdepan dengan tindakan undang-undang yang sewajar,” tegasnya.
Sementara itu, Hajiji berkata, ini juga selaras dengan usaha kerajaan runtuk menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah dan antara kriteria utama ialah ketersediaan tenaga kerja yang mencukupi.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata pihaknya sedang mempertimbangkan cadangan mewujudkan kad warga asing sebagai dokumen pengenalan diri untuk golongan itu yang tinggal lama di Sabah termasuk kanak-kanak.
Menyambut baik cadangan Kerajaan Sabah itu, Hamzah berkata, pemberian kad ini akan membolehkan semua pihak dan agensi mengenal pasti taraf seseorang itu terutama di Sabah.
#kad warga asing #Hajiji nafi belum muktamad #Pekerja Asing Sabah #PATI Sabah #Hajiji Noor
;