Kad ucapan Deepavali masih mejadi pilihan

Bernama
November 10, 2012 14:42 MYT
Walaupun kad ucapan perayaan Deepavali dilihat tidak mendapat sambutan seperti dahulu, namun para peniaga berkata masih terdapat pembelinya.
Dari tinjauan didapati kad yang tertera gambar pelakon filem Tamil seperti Vijay, Ajith dan Trisha menjadi pilihan pembeli.
"Biasanya yang membeli kad ucapan di kedai saya ialah kanak-kanak sekolah dan orang dewasa. Kalau remaja memang sangat kurang kerana mereka lebih gemar menggunakan pelbagai peralatan canggih masa kini untuk menghantar ucapan," kata S. Tharumaalingan.
Beliau yang menjual kad ucapan sejak 15 tahun lepas mengakui permintaan tidak lagi hangat seperti dahulu.
"Tahun lepas, saya mencetak 300,000 kad, tapi tahun ini saya hanya mencetak 150,000 kad. Antara punca kurang permintaan ialah laman sosial seperti Facebook dan Twitter lebih digunakan untuk menghantar ucapan," katanya.
R. Sivam bersetuju bahawa golongan muda lebih selesa menggunakan laman sosial bagi menyampaikan ucapan.
"Kalau 10 tahun lalu, jualan kad sangat laris sebelum bermulanya perayaan lagi," katanya yang berniaga di Jalan Masjid India.
M. Saravanan yang berniaga di Bricfields berkata permintaan langsung tidak mendapat sambutan di kalangan generasi muda.
"Kalau dulu menjelang musim perayaan memang seronok menjual kad Deepavali sebab orang ramai berpusu-pusu membeli kad untuk dihantar kepada rakan-rakan mereka. Tetapi sekarang keadaan sudah berubah," katanya.
Seorang belia dari Setapak yang dikenalli sebagai Manju, 20, berkata semasa zaman persekolahannya, dia memang suka menghantar kad ucapan, tetapi sekarang lebih selesa menghantar melalui SMS dan Facebook.
"Kita boleh menghantar ucapan melalui Facebook dengan lebih cepat sementara melalui kad ucapan, lambat untuk sampai," katanya.
#Kad Deepavali
;