Kad ucapan Aidilfitri yang diterima akan dibalas - Agong
Bernama
Mac 30, 2024 16:15 MYT
Mac 30, 2024 16:15 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah akan membalas setiap kad ucapan Hari Raya Aidilfitri yang diterima Seri Paduka Baginda daripada rakyat.
"Saya ada membaca di dalam ruangan komen laman sosial Facebook rasmi saya, begitu banyak yang menulis mahukan kad raya Aidilfiri.
"Saya tetap akan membalas setiap kad yang diterima," titah Yang di-Pertuan Agong menerusi perkongsian di Instagram Official Sultan Ibrahim semalam.
Menerusi perkongsian itu Sultan Ibrahim berkenan menandatangani kira-kira 500 kad Aidilfitri untuk diutus kepada rakyat jelata yang mengirimkan ucapan.
Sebelum menandatangani kad ucapan berkenaan, Yang di-Pertuan Agong meluangkan masa menyediakan air mata kucing sebagai persediaan untuk berbuka puasa.
Memasak merupakan antara hobi Seri Paduka Baginda yang juga mahir menyediakan pelbagai jenis masakan.
-- BERNAMA