'Kad pemandu' Uber dan GrabCar disambut baik
Hilal Azmi
Julai 28, 2016 14:55 MYT
Julai 28, 2016 14:55 MYT
Cadangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk memperkenalkan sistem 'kad pemandu' kepada pengguna aplikasi berasaskan teksi, GrabCar dan Uber mendapat respon positif daripada pemandu.
Rata-rata mereka menganggap usaha ini memberi nafas baru kepada mereka untuk menjalankan operasi secara sah dari segi undang-undang.
Bagi Syahrin Abdul Aziz yang ditemui Astro Awani, usaha ini amat dialu-alukan memandangkan pihaknya berdepan cabaran dalam menjalankan operasi menggunakan aplikasi Uber.
"Kita tidak mahu dicop sebagai pemandu haram dan mengambil penumpang tanpa lesen. Kita hendak memberi persaingan yang positif kepada industri perkhidmatan ini samada pemandu uber atau grab car sekalipun perkhidmatan teksi," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, hari ini.
Bagi seorang lagi yang mahu dikenali sebagai Gary, apa yang penting baginya, operasi Uber dan GrabCar diterima sebagai sah di sisi undang-undang.
"Ini penting bagi mengelakkan kita kena kacau dengan pemandu teksi mahupun penguatkuasa," katanya.
Berbeza dengan Shahrizal Ismail, pengenalan 'kad pemandu' seharusnya tidak membebankan pemandu memandangkan kebanyakan pemandu yang menggunakan aplikasi GrabCar atau Uber untuk menambah pendapatan sampingan mereka.
"SPAD boleh keluarkan kad dan kami tak kisah sekiranya perlu menghadiri kursus atau sebagainya.
"Apa yang penting, tiada caj dikenakan memandangkan pemandu yang menggunakan aplikasi ini bukan semuanya menjalankan operasi secara sepenuh masa," katanya kepada Astro Awani.
Dalam tinjauan secara atas talian, kebanyakan pemandu turut senada agar tiada caj dikenakan kepada pemandu.