Kad OKU boleh siap sehari di bawah sistem baru
Bernama
Disember 4, 2012 08:47 MYT
Disember 4, 2012 08:47 MYT
Kad Orang Kurang Upaya (OKU) kini boleh disiapkan dalam tempoh sehari melalui penambahbaikan Sistem Pengurusan Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) yang dilancarkan Isnin.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Noriah Kasnon berkata versi baharu itu, hasil penambahbaikan SMOKU yang dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2011, memberi kemudahan mempercepatkan proses pengeluaran kad OKU melalui atas talian kepada golongan tersebut.
"Pada peringkat awal, sistem ini kurang mendapat sambutan kerana khusus pendaftaran untuk mendapatkan kad OKU sahaja, tetapi pada kali ini, sistem ini diperluaskan lagi dengan memadankan pekerjaan dan minat yang sesuai ataupun kemahiran yang mereka ada.
"Sistem ini mengandungi modul yang lebih lengkap, mudah, cepat dan kad OKU tersebut boleh disiapkan dalam tempoh satu hari," katanya kepada pemberita selepas melancarkannya sempena Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan 2012 bertema 'Karisma OKU: Persekitaran Bebas Halangan Menjana Kesejahteraan'.
Bagi OKU yang mempunyai ketidakupayaan fizikal yang jelas seperti kudung kaki dan tangan, mereka boleh membuat pendaftaran terus di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah.