Kad kesihatan berisi klorin dioksida tidak boleh cegah COVID-19 - Pusat Racun Negara
Astro Awani
Mac 30, 2020 07:00 MYT
Mac 30, 2020 07:00 MYT
Tiada kesan pembasmian kuman atau virus yang berlaku apabila seseorang itu menggantung kad kesihatan (health tag) yang mengandungi bahan kimia klorin dioksida (chlorine dioxide).
Menurut catatan di laman Facebook Pusat Racun Negara, gas yang dibebaskan adalah sangat rendah atau tidak dapat dikesan langsung untuk mencegah jangkitan kuman atau virus sedia ada, apatah lagi COVID-19.
"Chlorine Dioxide merupakan gas yang bersifat merengsa terutama kepada saluran pernafasan bergantung kepada kuantiti dan kepekatan gas yang terdedah.
"Apa yang lebih dibimbangi adalah kepercayaan pengguna terhadap produk ini akan menyebabkan mereka merasakan selamat dan dilindungi daripada jangkitan.
"Akibatnya pemakai mungkin akan bersikap kurang berhati-hati dan tidak mengamalkan kaedah pencegahan yang terbukti berkesan seperti kerap membasuh tangan dan penjarakan sosial," tulis agensi itu.
Jelas agensi itu lagi, ia adalah hasil kajian khusus tentang keberkesanan produk seumpama itu yang telah dijalankan dan diterbitkan melalui artikel “Hidekazu NISHIMURA, Investigation on Practical Usefulness of Body-worn Devices that Claim to Release Chlorine Dioxide" oleh Japanese Journal of Environmental Infections 32(4):222-226 pada Julai 2017.
Kad kesihatan itu menjadi tular dan laris penjualannya melalui atas talian kononnya bertindak mencegah jangkitan virus dan bakteria melalui pembebasan gas Chlorine Dioxide di sekitar pemakainya.
Sebelum ini tular isu penggunaan herba daun semambu untuk rawatan COVID 19.
Pakar Epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba berkata rawatan dengan daun semambu pernah diuji untuk penyakit lain, bukan COVID-19, namun didapati tidak berkesan.
#Chlorine Dioxide
#COVID-19
#jangkitan kuman
#kad kesihatan
#klorin dioksida
#koronavirus
#Pusat Racun Negara
#saluran pernafasan