Kad kemajuan murid PISA: Biar merangkak jangan menjalar

Dr Abdul Mutalib Embong, Abd Jamil Sabdin
Februari 14, 2024 12:54 MYT
Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura yang muncul negara terbaik di dunia mengatasi Ireland, Taiwan, Jepun, dan Korea. -Gambar hiasan/Bernama
ALASAN pandemik COVID-19 sebagai faktor utama kepada kemerosotan Malaysia dalam PISA (Programme for International Student Assessment) 2022 bukanlah satu alasan kukuh kerana pandemik ini bukan melanda negara kita sahaja.
Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura yang muncul negara terbaik di dunia mengatasi Ireland, Taiwan, Jepun, dan Korea.
Malaysia berada di tangga ke 43 daripada 81 negara yang mengambil bahagian.
Dalam bahasa mudah, kita umpama seorang pelajar yang mendapat keputusan sederhana daripada 81 pelajar yang mengambil peperiksaan.
PISA ialah sebuah program penarafan mutu pendidikan di sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh OECD (Organisation for Economic Corporation and Development) bagi pelajar berusia 15 tahun melibatkan negara-negara dari seluruh dunia.
Ia menguji kemampuan dan penguasaan pelajar dalam tiga bidang utama iaitu membaca, Matematik, dan Sains.
Perincian keputusan menunjukkan Malaysia mencatat kemerosotan dalam purata pencapaian ketiga-tiga domain literasi berkenaan.
Lebih memeranjatkan, Kemboja - sebuah negara yang serba kekurangan dan daif - memperoleh 336 mata dalam Matematik (meningkat dari 324 pada 2018), 329 dalam membaca (meningkat dari 321), dan 347 dalam Sains (meningkat dari 330).
Malaysia memperoleh min skor 421, jauh lebih rendah dari purata min skor 494 untuk negara-negara yang mengambil bahagian.
Untuk Matematik, kita berada di kedudukan 53, iaitu 22 tempat di belakang Vietnam yang berada di tempat 31.
Sudah tentu ia menjadi tanda tanya bagaimana Vietnam yang kurang baik infrastruktur dan ekonominya berjaya melonjakkan mutu pendidikan sekolah sedemikian rupa.
Ia juga sesuatu membingungkan apabila jumlah pelajar yang memperoleh A dalam peperiksaan utama di Malaysia meningkat setiap tahun.
Natijahnya, apabila perkara ini berlaku, ibu bapa, guru dan kementerian akan saling menuding jari menyalahkan satu sama lain.
Antara defisit pendidikan yang ketara dan sudah dikenal pasti adalah jurang prasarana pembelajaran antara sekolah, isu keciciran murid, sekolah daif, kekurangan guru mengikut opsyen, sekolah sesak murid (SSM) di bandar besar, sekolah kurang murid (SKM), beban tugas guru berlebihan dan tahap kepercayaan masyarakat kepada sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Sikap pelajar yang menjawab soalan PISA dengan sambil lewa dan menganggapnya tidak penting turut menyumbang kepada kemerosotan ini.
Ia perlu dipandang serius memandangkan negara kita sedang mengorak langkah menuju negara maju.
Ada berpendapat ini adalah masalah generasi muda kita pada masa kini. Selain asyik dengan alat peranti, mereka cepat bosan untuk belajar, tidak bermotivasi dan mudah hilang fokus.
Berbeza dengan peringkat generasi dahulu yang berjiwa kental , generasi masa kini dilihat lembik dan kurang daya tahan.
Berdasarkan kajian yang dilakukan, dua daripada tiga anak muda selepas SPM memilih untuk menjadi influencer (pempengaruh) dan tidak mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Mereka mahu serba mudah dan berpendapat menjadi pempengaruh adalah kerjaya yang memenuhi kehendak jiwa anak muda yang inginkan kemasyhuran dan memperoleh pendapatan lumayan dengan senang dan pantas.
Maka tidak hairanlah sikap ini dicerminkan didalam peperiksaan PIA.
Berdasarkan laporan PISA bagi tahun 2022, peratus cekal murid Malaysia hanyalah 9.3% berbanding dengan Uzbekistan (19.6%), Kemboja (18.2%), dan jiran kita Indonesia 15.2%.
Pemansuhan UPSR yang digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai pendekatan tunggal kepada sistem penilaian di sekolah untuk mengukur pencapaian murid turut menyebabkan kita ketiadaan sistem penilaian berpusat seperti UPSR untuk menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar.
Dalam masa yang sama, isu sekolah daif yang memberi fokus usaha pemulihan defisit pendidikan dalam konteks penyediaan infrastruktur lebih berkualiti dan baharu untuk kemudahan serta keselesaan murid dan guru perlu disegerakan.
Seiring dengan dunia teknologi tanpa sempadan, data KPM mengesahkan hanya 40 peratus murid mempunyai akses peranti untuk membuat tugasan sekolah di rumah, manakala hampir 90 peratus pula masih tidak mempunyai peranti milik peribadi untuk tujuan yang sama.
Di pedalaman Sabah, Kelantan, Pahang dan Sarawak, masih banyak sekolah belum menerima akses internet sepenuhnya.
Dalam pada itu, sebagai satu cara untuk meningkatkan kedudukan negara dalam Pisa, Kementerian Pendidikan dilihat mengubah sukatan pelajaran sekolah rendah beberapa tahun lalu, untuk menjadikannya lebih sukar dan berdaya saing.
Buku teks turut diubah dan ia menyebabkan bukan sahaja murid, malahan ibu bapa turut bergelut untuk menyesuaikan diri dan seterusnya memberi kesan kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Kita juga mengalami kemiskinan sosial yang melibatkan ketidaksamaan ekonomi, iaitu dari segi pendapatan, taraf kehidupan dan sebagai nya. Ia turut meliputi ketidaksamaan sosial yang berkaitan dengan pendidikan.
Memang tidak dapat dinafikan isu kemiskinan merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan berlakunya jurang pendidikan di negara kita.
Walaupun kerajaan sentiasa mengambil inisiatif dalam membendung masalah ini, namun ia masih membelenggu masyarakat kita.
Kejayaan dalam merapatkan jurang pendidikan boleh dicapai melalui usaha dan komitmen berterusan daripada semua pihak, terutamanya pendidik, ibu bapa, badan bukan kerajaan, masyarakat, dan ahli akademik.
Tambahan pula, semua pihak haruslah mengambil perhatian dan komitmen yang tinggi bukan sahaja dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) murid, tetapi juga dalam aspek kebajikan dan keperluan sosial murid di bandar ataupun luar bandar.
Maka, ada baiknya juga kita meneropong ke sekolah adik kecil di Seberang Teberau. Singapura memperkenalkan sejumlah inisiatif penggunaan teknologi dalam pendidikan mulai 1997.
Solusi digital diintegrasikan ke dalam kegiatan bilik darjah. Guru-guru dilatih memanfaatkan perangkat teknologi, sementara peningkatan infrastruktur teknologi di sekolah dibangunkan.
Mungkin kita tidak akan dapat mengecapi kejayaan berganda seperti Singapura memandangkan kita masih bergelut dengan isu ketidaksamarataan dan jurang pendidikan yang merencatkan usaha memberi pendidikan berkualiti kepada semua murid.
Namun, sekurang-kurangnya kita tidak malu untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan jiran kita Kemboja dan Vietnam.
Malaysia Boleh!

Abd Jamil bin Sabdin dan Abdul Mutalib Embong ialah tenaga pengajar masing-masing dari Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan dan Universiti Malaysia Terengganu.
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#PISA #COVID-19 #membaca Matematik dan Sains #murid 15 tahun
;