Kabinet setuju tubuh pasukan bertindak siasat kerugian urus niaga mata wang asing BNM

Astro Awani
Februari 15, 2017 23:09 MYT
Tindakan itu membuktikan komitmen dan ketelusan Kerajaan untuk memastikan urusan Bank Negara pada ketika itu dijalankan mengikut urus tadbir yang ditetapkan. - Gambar fail
Kabinet hari bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan bertindak khas atau Task Force bagi menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia yang didakwa berlaku pada sekitar tahun 1990-an.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata pasukan itu nanti akan mengemukakan syor dan cadangan untuk dipertimbangkan oleh Kabinet dalam tempoh terdekat dan tindakan selanjutnya termasuklah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sekiranya perlu.
"Pasukan petugas khas ini akan mengemukakan syor dan cadangan untuk dipertimbangkan oleh Kabinet dalam tempoh terdekat dan tindakan selanjutnya termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika perlu berdasarkan hasil siasatan itu nanti," kata kenyataan itu.
Pasukan petugas khas itu akan dianggotai pelbagai agensi kerajaan termasuk individu-individu yang dihormati dan berpengalaman dalam bidang-bidang tertentu.
Menurut Pejabat Perdana Menteri lagi, kerajaan akan sentiasa terbuka dan telus dalam siasatan itu memandangkan ia melibatkan Bank Negara Malaysia dan dikatakan skandal kewangan terbesar.
"Penubuhan pasukan petugas khas ini merupakan langkah permulaan bagi mendapatkan semula fakta-fakta yang berkaitan - menganalisis semua Hansard rasmi mesyuarat-mesyuarat Parlimen pada masa itu, minit-minit Mesyuarat Kabinet yang terdahulu, laporan Ketua Audit Negara, Bank Negara Malaysia dan laporan-laporan lain daripada agensi-agensi yang berkenaan.
"Ia juga bertujuan untuk mengetahui apa sebenar yang telah berlaku, jumlah kerugian sebenar dan sama ada terdapat salah laku tatacara pentadbiran kewangan serta adanya tindakan pihak tertentu untuk menutup apa yang sebenar berlaku dari pengetahuan rakyat Malaysia selama ini," menurut kenyataan itu lagi.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan kerajaan itu membuktikan komitmen dan ketelusan kerajaan bagi memastikan urusan Bank Negara pada ketika itu dijalankan mengikut urus tadbir yang ditetapkan.
#Bank Negara Malaysia #kabinet #Task force
;