Kabinet setuju namakan semula Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan - KM Sabah

Radhi Muslim
Oktober 9, 2022 12:23 MYT
Hajiji berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kabinet negeri pada 5 Oktober lalu.
SANDAKAN: Kabinet Sabah bersetuju untuk menamakan semula Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas sebagai Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kabinet negeri pada 5 Oktober lalu.
“Keputusan ini adalah bagi mengiktiraf peranan kementerian selama ini dalam menyelaraskan hal ehwal pendidikan dan hal ehwal Islam di Sabah.
“Semoga dengan ini dan bersempena pada hari yang mulia ini, Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan akan terus bekerja keras untuk memajukan hal ehwal berkaitan pendidikan dan Islam di negeri ini,” katanya sempena Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1444H/2022M di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini pada Ahad.
Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri 1444H/2022M diramsikan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata, sifat Rasulullah SAW sejak zaman remajanya berdikari dengan berdagang dan menggembala kambing sebagai sumber pendapatan bagi menyara kehidupan perlu dicontohi umat Islam khususnya anak-anak muda di Sabah
Nasihat beliau, semua yang dilakukan Rasulullah SAW sebagai upaya mengurangkan kebergantungan hidup kepada orang lain di samping tidak mahu menyusah dan mengharapkan belas kasihan orang sekeliling.
"Justeru, bersesuaian dengan citra kelahiran dan perutusan Rasulullah SAW sebagai pembawa rahmat yang memacu perubahan dan pembaharuan, seharusnya umat Islam hari ini memiliki tekad serta kaedah baharu dalam mengharungi cabaran semasa.
"Antara lain tekad dan kaedah yang dimaksudkan itu adalah memiliki kemampuan berusaha dan berdikari bagi mengelakkan kebergantungan umat Islam terhadap orang lain,” katanya.
Hajiji juga mahu tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran, dijadikan pegangan untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan keluarga Malaysia di negeri ini.
“Tema ini amat sesuai dengan kita di Sabah, sebuah Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama tetapi masih mampu mengekalkan perpaduan dan bersatu padu demi keamanan serta kemakmuran negeri ini,” katanya.
#Kabinet Sabah #Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan #Hajiji Noor #Sabah
;