Kabinet setuju lulus garis panduan perancangan pusat data - Kor Ming

Bernama
Oktober 10, 2024 13:15 MYT
Kor Ming berkata garis panduan itu antara lain bertujuan menyeragamkan serta memudah cara proses permohonan dan kelulusan perancangan oleh pihak berkepentingan. - Gambar fail
CYBERJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri pada Selasa lepas bersetuju meluluskan penerimapakaian Garis Panduan Perancangan (GPP) Pusat Data yang disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), kata Menterinya Nga Kor Ming.
Kor Ming berkata garis panduan itu bertujuan menyeragamkan serta memudah cara proses permohonan dan kelulusan perancangan oleh pihak berkepentingan, menyokong inisiatif memudahkan menjalankan urusan dan melengkapkan keseluruhan ekosistem industri pusat data selain panduan kepada yang terlibat dalam pembangunan pusat data.
"Secara keseluruhan, GPP ini meliputi panduan perancangan tapak, prosedur permohonan pelan pemajuan bagi kebenaran merancang dan pelan bangunan selain terpakai kepada skala pemajuan pusat data yang melebihi satu mega volt Amp (MVA) sama ada di kawasan baharu atau di bangunan sedia ada.
"Dengan pelancaran GPP Pusat Data ini, kami berhasrat untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur digital dan menyokong ekosistem pemajuan pusat data melalui pembinaan pusat data di lokasi yang lebih strategik mengikut zon guna tanah yang ditetapkan agar dapat memastikan pengagihan sumber bagi keperluan domestik tidak terjejas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan GPP di sini hari ini.
Beliau berkata antara langkah proaktif yang dipertimbangkan dalam garis panduan itu merangkumi aspek kawalan perancangan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu hanya zon guna tanah komersial dan industri dibenarkan untuk pemajuan pusat data serta keperluan zon penampan bagi pusat data yang bersebelahan dengan kawasan perumahan bagi memastikan tiada gangguan bunyi bising kepada komuniti setempat.
Kor Ming berkata penyediaan garis panduan itu juga seiring dengan strategi Malaysia dalam menyediakan infrastruktur digital yang kukuh bagi menarik lebih pelabur asing, lebih-lebih lagi apabila negara menjadi tapak pelaburan syarikat gergasi seperti Amazon, Google dan Oracle.
"Dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, Malaysia dijangka akan menjadi hab pusat data terbesar di ASEAN dengan inventori keperluan tenaga sekitar kira-kira empat gigawatt," katanya.
Beliau berkata garis panduan itu kemudiannya akan dibentangkan di Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) kali ke-84 yang dijadualkan berlangsung pada 14 Nov bagi tujuan rundingan dan penerimapakaian oleh pihak berkuasa negeri dan PBT di seluruh negara.
Buku garis panduan itu akan diedarkan ke 156 PBT mulai hari ini dan ia boleh didapati di laman https://mytownnet.planmalaysia.gov.my/index.php/books/garis-panduan-perancangan-pusat-data/
Untuk rekod, hingga Mei lepas sebanyak 32 pusat data sedang beroperasi dan 19 pusat data lagi dalam pembinaan dengan kawasan tumpuan utama ialah di Cyberjaya, Kuala Lumpur dan Johor.
-- BERNAMA
#Nga Kor Ming #pusat data #garis panduan #Kerajaan Perpaduan
;