Kabinet setuju kaji semula Bandar Malaysia, UAE dipelawa sertai projek

Nailah Huda
September 27, 2022 17:47 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media bersama wartawan Malaysia membuat liputan lawatan empat hari beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini. - Foto BERNAMA
ABU DHABI: Malaysia mempelawa Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menyertai projek pembangunan Bandar Malaysia di Kuala Lumpur berikutan persetujuan Kabinet untuk mengkaji semula projek itu yang masih belum dibangunkan sejak pelancarannya pada 2011.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengemukakan cadangan tersebut kepada Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dalam pertemuan dua hala antara kedua-dua pemimpin di Abu Dhabi pada Isnin.
Kata Ismail Sabri dalam satu sidang media di sini pada Selasa, Kabinet turut bersetuju supaya projek tersebut melibatkan lebih ramai pihak, dan bukan beberapa syarikat tertentu sahaja.
“Secara prinsip, kita nak lebih ramai pihak yang terlibat dalam pakej-pakej tersebut supaya tidak dikuasai satu atau dua syarikat.
“Kabinet bersetuju pada dasarnya supaya projek ini dibangunkan secara berpakej dan pakej-pakej ini akan ditentukan,” ujarnya.
Namun, sama ada skala projek ini dikekalkan atau berubah daripada pelan asal masih belum ditentukan setakat ini.
Jelas beliau, projek tersebut masih dibincangkan antara Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.
BERITA LANJUT MENYUSUL
#ismail sabri yaakob #UAE #bandar malaysia #Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan #Emiriah Arab Bersatu #kabinet
;