Kabinet pertimbang syor pinda hukuman mati mandatori - Takiyuddin
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 13, 2020 13:26 MYT
Ogos 13, 2020 13:26 MYT
Syor bagi meminda hukuman mati mandatori terutama melibatkan kesalahan pengedaran dadah akan dibawa ke Kabinet untuk dipertimbang dan dipersetujui.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata laporan yang dikemukakan Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori itu baru diterima pihaknya pada 17 Julai lalu.
Ujarnya, laporan tersebut turut mengemukakan cadangan penambahbaikan kepada sistem keadilan di Malaysia untuk jangka masa panjang.
"Laporan Akhir Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori mengandungi syor-syor hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan 21 kesalahan yang membawa hukuman mati, tetapi dengan budi bicara mahkamah.
"Hasil dapatan kajian ini dijangka akan menjawab persoalan sama ada kerajaan bercadang untuk meminda hukuman bagi kesalahan pengedaran dadah kepada hukuman penjara minimum supaya hukuman dapat dijatuhkan berdasarkan fakta setiap kes," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) sama ada Kerajaan akan memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan pengedaran dadah.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan butiran syor-syor yang dikemukakan tersebut.
Jelasnya, menjadi hasrat kerajaan untuk melaksanakan cadangan tersebut secepat mungkin sekiranya ia dipersetujui jemaah menteri.
Terdapat 33 kesalahan di bawah akta sedia ada yang membawa hukuman mati dengan 11 daripadanya adalah mandatori.
Daripada 11 kesalahan itu, sembilan adalah jenis kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua lagi mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
#Akta Dadah Berbahaya
#Dadah
#Dewan Rakyat
#hukuman mati
#jemaah menteri
#mahkamah
#mandatori
#mati mandatori
#Parlimen
#penjara
#Takiyuddin Hassan
#undang-undang