Kabinet mahu kurangkan ruangan 'kaum', bukan gugur sepenuhnya
Teoh El Sen
Mei 8, 2014 07:36 MYT
Mei 8, 2014 07:36 MYT
Kabinet tidak pernah membuat keputusan untuk menggugurkan ruangan 'kaum' dalam semua borang rasmi kerajaan sepenuhnya tetapi bercadang menghentikannya secara beransur-ansur selain melihat di mana ia sesuai untuk dilaksanakan .
Menurut satu sumber Kabinet, kebanyakan menteri, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri, tidak membantah bahawa perlu ada pengurangan penekanan kepada kriteria kaum dalam borang rasmi kerajaan ketika mesyuarat mingguan mereka.
"Secara umumnya adalah dipersetujui bahawa demi memupuk semangat perpaduan, kita (kerajaan) cuba untuk mengurangkan, sebanyak mungkin maklumat kaum pada borang yang tidak memerlukannya," kata sumber itu kepada Astro AWANI.
"Apabila kita bergerak ke hadapan, kita memerlukan lebih banyak keputusan yang dibuat yang berdasarkan keperluan dan bukan atas dasar kaum. Ini sepatutnya menjadi satu kebiasaan, " kata sumber itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun sebelum ini telah mencadangkan perkara itu (menggugurkan ruangan "kaum") dan ia dibincangkan dengan hangat oleh pemimpin-pemimpin kerajaan, katanya.
"Sebagai contoh, bantuan tunai BR1M diberikan berdasarkan kepada pendapatan. Namun ada juga yang bertanya pecahan umlah yang diperolehi oleh setiap kaum? Ini adalah untuk tujuan statistik semata-mata.
"Isu yang berbangkit adalah sama ada (ruangan kaum pada borang) diperlukan atau tidak?
"Kita perlu sampai ke satu tahap apabila seseorang bertanyakan berapa banyakkah wang yang telah diberikan kepada kaum Melayu, Cina, dan India, kita mampu menjawab, kita (kerajaan) tidak tahu kerana keputusan dibuat berdasar kepada pendapatan mereka (dan bukannya kaum)," katanya.
Pada Rabu, media melaporkan Joseph sebagai berkata bahawa Kabinet telah memutuskan untuk menggugurkan ruangan 'kaum' dalam borang rasmi kerajaan yang tidak mempunyai nilai tambah.
Komennya itu mengundang kemarahan kumpulan hak bumiputra, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, PERKASA, yang berkata pertubuhan itu bersedia untuk mengheret kerajaan ke mahkamah jika perkara itu dilaksanakan.
Najib, bagaimanapun pada Khamis menjelaskan bahawa ruangan ‘kaum’ akan kekal dalam borang rasmi kerajaan kerana ia diperlukan untuk tujuan statistik untuk memantau perkembangan setiap kaum di negara ini.
Pada Februari, Tan Sri Joseph Kurup berkata Malaysia perlu mengambil langkah ke arah mewujudkan sebuah identiti kebangsaan tunggal dengan mengeluarkan kategori "kaum" dari semua borang rasmi di negara ini.
Kurup, yang juga Menteri yang bertanggungjawab bagi perpaduan negara, berkata dengan langkah itu diharapkan rakyat negara ini akan mula melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia dan bukannya berdasarkan identiti sesuatu bangsa mahupun agama.