Kabinet lulus pinjaman RM1 bilion baik pulih sekolah daif di Sarawak

Rohana Wahed
Februari 20, 2019 23:30 MYT
Abang Johari bersalaman dengan Maszlee ketika mengadakan perbincangan di Pejabat Ketua Menteri, Wisma Bapa Malaysia, Kuching, 19 Feb, 2019. -- fotoBERNAMA
Kabinet pada Rabu meluluskan dan bersetuju kerajaan persekutuan memberikan pinjaman RM1 bilion kepada kerajaan Sarawak bagi menyelesaikan isu sekolah daif di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata keputusan itu dibuat selepas persetujuan dicapai antara beliau dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg ketika lawatannya ke Kuching, pada Selasa.
Perbincangan dalam pertemuan satu jam yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia itu memfokuskan kepada masalah sekolah daif di Sarawak.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM), dengan kelulusan berkenaan, ia akan memanfaatkan 436,000 murid di seluruh Sarawak.
Menerusi peruntukan RM1 bilion itu, sekolah-sekolah daif di negeri ini akan dibina semula.
"Kabinet juga telah bersetuju agar projek ini dipantau rapi untuk memastikan wang RM1 bilion yang akan digunakan nanti benar-benar digunakan secara efisien dan memberi manfaat kepada semua anak murid dan warga guru di sekolah yang terbabit," kata Maszlee.
Untuk itu, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan melibatkan KPM, Kementerian Kewangan dan kerajaan Sarawak bagi memastikan tadbir urus yang bersih dan proses yang telus dapat dilaksanakan.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan bertindak sebagai agensi pelaksana.
#Abang Johari Openg #kabinet #Kementerian Pendidikan #kerajaan Persekutuan #Maszlee Malik #pendidikan #peruntukan #pinjaman #Sarawak #sekolah #Sekolah daif