Kabinet lulus penjenamaan semula PPR kepada Program Residensi Rakyat

Bernama
September 5, 2024 14:40 MYT
Nga Kor Ming berkata program itu dijangka bermula di Johor tahun depan dengan Larkin berkemungkinan menjadi lokasi pertama pembinaannya. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Kabinet telah meluluskan penjenamaan semula Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Program Residensi Rakyat (PRR).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata program itu dijangka bermula di Johor tahun depan dengan Larkin berkemungkinan menjadi lokasi pertama pembinaannya.
"Program PRR baru dapat kelulusan kabinet minggu ini. Kita akan bawakan konsep baharu, menampilkan PRR dengan kualiti yang lebih tinggi, tetapi harga masih amat berpatutan.
"Lokasi pertama saya jangka bermula dari selatan iaitu negeri Johor dan kemungkinan besar di Larkin," katanya ketika diminta mengulas mengenai PRR pada sidang media selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Residensi Pelangi Indah di sini hari ini.
Beliau berkata sebarang perincian lanjut mengenai pembinaan PRR akan diumumkan kemudian.Sementara itu Nga berkata KPKT mendukung hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membina sehingga 500,000 unit kediaman perumahan awam, yang sekali gus menyaksikan penjenamaan semula PPR kepada PRR.
Beliau berkata usaha itu adalah bagi langkah penambahbaikan, dengan menyuntik ciri-ciri lebih mesra alam, kondusif, berdaya huni dan lebih bersepadu, yang akan diperkenalkan di bawah konsep baharu PRR.
Sebelum ini beliau dipetik sebagai berkata saiz minimum bagi PRR ialah 750 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi.
Sementara itu Nga berkata KPKT memperuntukan hampir RM1 bilion bagi projek perumahan awam melibatkan kediaman PPR, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan juga Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) di seluruh negara tahun ini.
Beliau berkata sehingga 31 Julai lepas, Jabatan Perumahan Negara (JPN), PR1MA dan SPNB telah membina 26,662 unit rumah di Johor.
NGA-PRR (PENJENAMAAN) 3 (AKHIR) JOHOR BAHRU
Terdahulu Majlis Simbolik Penyerahan Kunci Rumah Residensi Pelangi Indah di bawah PR1MA telah berlangsung, sebagai sebahagian daripada program Sentuhan Kasih KPKT.
Kawasan Rumah Residensi Pelangi Indah itu merangkumi pembangunan 720 unit kediaman yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti surau, taman permainan, taska, dewan serba guna dan bilik mesyuarat.
Nga turut menyerahkan peruntukan RM4 juta bagi Kajian Rancangan Tempatan Malis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Selain itu, peruntukan RM1 juta diserahkan kepada Majlis Perbandaran Muar, Majlis Perbandaran Kulai dan Majlis Daerah Kota Tinggi bagi Program Bandar Selamat: Inisiatif Pemutihan Kawasan Blackspot, serta RM3.5 juta di bawah Inisiatif Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) kepada 32 buah RIBI di Johor.
-- BERNAMA
#rumah PPR #penjenamaan semula #PRR #Program Residensi Rakyat