Kabinet lulus cadangan pindaan Perlembagaan isu kewarganegaraan
Pia Ernadya
Mac 8, 2024 21:36 MYT
Mac 8, 2024 21:36 MYT
PUTRAJAYA: Kabinet hari ini meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan khususnya hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang bernikah dengan pasangan bukan rakyat Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, cadangan itu diluluskan selepas beliau membentangkannya ketika mesyuarat Kabinet hari ini.
“Hari ni saya bentangkan dan Kabinet bagi green light sepenuhnya.
“Saya akan teruskan dengan proses-proses seperti sesi penerangan kepada rakan-rakan media, tokoh-tokoh kepakaran, badan masyarakat sivil dan ahli-ahli Parlimen yang akan mengundi,” katanya semasa sidang media di sini pada Jumaat.
Saifuddin turut berharap cadangan pindaan itu dapat dibentangkan secepat mungkin.
“Kita kena beratur dari segi Parlimen sebab banyak pindaan-pindaan yang bukan hanya kementerian ini, tetapi kementerian lain pun ada jadual mereka. Jadi, kita daftar dulu dan tunggu tarikh yang akan ditetapkan oleh Setiausaha Dewan," ujarnya.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (JPN) merangka draf pindaan Perlembagaan Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan 'ibu', dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.