Kabinet lulus cadangan akta Majlis Media Malaysia - Fahmi
Firdaus Azil
Februari 21, 2024 15:45 MYT
Februari 21, 2024 15:45 MYT
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri pada Rabu telah meluluskan pembentukan satu akta berkaitan penubuhan Majlis Media Malaysia, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, langkah seterusnya ialah proses membentuk undang-undang berkaitan oleh Jabatan Peguam Negara, dan dijangka dapat dibentangkan di Parlimen pada Jun depan.
Tambahnya lagi, penbentukan akta tersebut sebelum ini mengambil masa yang agak lama susulan proses libat urus bersama Jawatankuasa Khas Protem dengan pemegang taruh, serta perubahan kerajaan pada 2020.
"Jemaah Menteri telah meluluskan dasar bagi membentuk satu akta Majlis Media Malaysia. Kalau mengikut susur galur, dasar mengenai pembentukan satu akta penggubalan akta Majlis Media telah dimasukkan pada 2019. Tapi memandangkan terdapat perubahan Kerajaan, dan setelah terbentuk Kerajaan baharu pada Parlimen ke-15, iaitu Kerajaan Madani sekarang, maka perlu ada selaras beberapa perkara dasar.
"Langkah seterusnya ke ialah proses draf undang-undang yang akan disiapkan oleh Jabatan Peguam Negara. Kita jangka jika tiada aral melintang, draf lulus dan bawa ke Parlimen bulan Jun ini," katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, penggunaan kod etika wartawan yang berasingan daripada Kod Etika Wartawan Malaysia oleh Jabatan Penerangan (JaPen), adalah tertakluk kepada keputusan majlis tersebut.
"Sekiranya Majlis Media Malaysia pada satu ketika ingin membentuk atau mengguna pakai kod etika ini atau kod etika baharu, itu terpulang kepada mereka.
"Ini kerana JaPen akan menggunakan kod etika ini dalam konteks memberi atau menarik balik kad perakuan media. Kad perakuan media tidak diberikan oleh Majlis Media," katanya lagi.