Semua pemimpin PKR yang berada di dalam Kabinet tidak harus melupakan jasa Otai Reformis 1998 yang berjuang sehingga berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, menteri, timbalan menteri dan orang kanan dalam kerajaan itu turut dinasihatkan mempunyai akhlak terpuji dan sentiasa ingat kepada kumpulan yang meletakkan mereka di jawatan hari ini.

"Kadangkala ada yang lupa, bukannya parti kawan, daam parti Keadilan pun lupa, hendak sebut reformasi pun takut, nak jumpa dengan reformis pun takut.

"Sebab mereka lupa perjuangan ini bukan untuk menjaga satu dua orang, bukan hendak jamin kedudukan satu dua orang.

"Bukan tugas menteri siapa sokong aku dapat projek, siapa tidak sokong tidak dapat, ini perangai buruk UMNO dahulu.

"Kita pegang amanah, kita jangan salah guna kuasa," katanya semasa ucaptama Konvensyen Reformis 2019 di sini, pada Ahad.

BACA: Lembaga Displin digesa ambil tindakan terhadap pemimpin jika kenyataan keterlaluan - Ketua AMK

BACA:
Pas serah urusan rombakan Kabinet pada penilaian Perdana Menteri

Konvensyen anjuran Otai Reformis 1998 yang bertemakan 'Reformasi tetap menyala selagi reformis masih bernyawa' itu menyemarakkan dan mengukuhkan semangat besar reformasi dalam perjuangan melawan ketidakadilan, kemiskinan, rasuah dan salah guna kuasa terlaksana sejak 21 tahun dahulu.

Anwar turut mengingatkan Ahli Kabinet perjuangan untuk menghapuskan rasuah dan tidak lupa diri apabila sudah menjadi kerajaan.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan tidak mahu terburu-buru mengambil alih jawatan Perdana Menteri kelapan daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ujarnya, ruang sepenuhnya akan diberi kepada Dr Mahathir untuk memulihkan ekonomi serta urus tadbir negara dengan rakan dalam Kabinet agar transisi itu berlaku dalam keadaan lancar.

Katanya, isu itu sudah jelas selain meminta semua pihak bersabar dan mengakui tidak runsing dengan pelbagai khabar angin yang mendakwa ada pemimpin lain selainnya menggantikan Dr Mahathir.