Kabinet Ismail Sabri menjurus pada survival politik - Pembangkang

Astro Awani
Ogos 27, 2021 14:57 MYT
Lim Guan Eng menyifatkan kabinet yang dibentuk Ismail Sabri sebagai kitar semula kerajaan gagal Perikatan Nasional. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selepas dua hari berikrar untuk bekerjasama dengan kerajaan dan mencari titik persamaan dalam usaha meredakan suhu politik negara, hari ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengkritik Kabinet diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, Kabinet baharu yang diumumkan Ismail Sabri hampir sama dengan komposisi kerajaan sebelum ini.
“Kembalinya Kabinet kitar semula kerajaan gagal Perikatan Nasional akan menyebabkan keraguan timbul berhubung komitmen Perdana Menteri baharu bukan sahaja dalam usaha memenangi perang COVID-19 dan krisis ekonomi.
“Ia juga akan menimbulkan persoalan apakah Ismail (Sabri) ikhlas untuk melaksanakan pembaharuan institusi yang konkrit dalam melindungi hak-hak demokratik dan Perlembagaan seperti yang dikemukakan semasa pertemuannya dengan tiga pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) dua hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam kenyataan berasingan, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub pula menyifatkan Kabinet Ismail Sabri hanya menjurus kepada survival politik, bukan rakyat dan ekonomi.
"Kabinet ni lebih menjurus political survival, bukan rakyat and economic survival. Lagu lama cuma iramanya digubah kembali. Orang putih kata old wine in a new bottle. Satu perubahan yang tiada pengakhiran," kata Salauddin dalam ciapan di Twitter.

Kabinet ni lebih menjurus political survival, bukan rakyat and economic survival. Lagu lama cuma iramanya digubah kambali. Orang Putih kata Old Wine In a New Bottle. Satu perubahan yang tiada pengakhiran.

— Salahuddin Ayub (@MyDSA_official) August 27, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ismail Sabri mengekalkan majoriti anggota Kabinet Muhyiddin dalam senarai menterinya dan beberapa menteri dan timbalan menteri ke portfolio lain.
Senarai penuh Kabinet Malaysia 2021
[LAPOR LANGSUNG] Ini senarai anggota Kabinet Ismail Sabri Yaakob
BACA: Ucapan penuh Ismail Sabri: Pembentukan Kabinet baharu
BACA: Hishammuddin kembali jadi Menteri Pertahanan dalam kerajaan berbeza
Perdana Menteri kesembilan itu juga mengekalkan format asal Kabinet Muhyiddin dengan empat menteri kanan masing-masing bagi portfolio perdagangan antarabangsa dan industri, pendidikan, ekonomi dan pertahanan.
Tiga muka baharu yang diperkenal sebagai timbalan menteri pula ialah Datuk Mohamad Alamin dari UMNO, Yamani Hafez Musa (Bersatu) dan Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pas)
Jumlah anggota Kabinet Ismail Sabri juga kekal dengan 31 orang menteri dan 36 timbalan, sama dengan pentadbiran Muhyiddin.
Dalam senarai Kabinet kali ini, beberapa menteri digugurkan termasuk Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dari Bersatu, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Badry (Senator) dan Datuk Seri Khairuddin Aman Razali (Pas).
#Pakatan Harapan #Lim Guan Eng #Salahuddin Ayub #ismail sabri yaakob
;