Kabinet bubar jika PM letak jawatan - Peguam
Bernama
Februari 24, 2020 05:53 MYT
Februari 24, 2020 05:53 MYT
Kabinet kerajaan pusat bubar secara automatik sebaik sahaja seorang Perdana Menteri meletak jawatan, menurut pakar undang-undang.
Peguam terkenal, Datuk N. Sivananthan berpendapat bahawa tidak ada lagi kerajaan apabila peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamed diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah R'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagaimanapun, katanya, baginda boleh melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu atau menunggu keputusan pilihan raya umum jika diadakan.
Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Parlimen, yang baginda berpendapat mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat selaras dengan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, katanya mengulas peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pada Isnin.
Dalam pada itu, seorang peguam pakar undang-undang perlembagaan, Lim Wei Jiet, berkata seorang Perdana Menteri baharu perlu dilantik dalam memastikan beliau membentuk sebuah Kabinet bagi mengurus pentadbiran negara.
"Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik seorang yang mempunyai keyakinan majoriti Ahli Parlimen dalam Parlimen sebagai Perdana Menteri," katanya.
Bagaimanapun, dalam senario semasa, kedua-dua peguam itu mempunyai pandangan berbeza apabila ditanya sama ada seorang bekas Timbalan Perdana Menteri boleh dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri.
"Tidak ada apa-apa peruntukan dalam Perlembagaan yang menghalang seorang bekas Timbalan Perdana Menteri bertindak sebagai Perdana Menteri sementara untuk mengurus perkara-perkara berkaitan kerajaan sementara menunggu satu penyelesaian dalam soal ini," kata Lim.
Kepada pertanyaan sama, Sivananthan menjawab: "Tidak ada peruntukan (dalam undang-undang) untuk Timbalan Perdana Menteri menjadi pemangku Perdana Menteri sekiranya Perdana Menteri meletak jawatan."
Ditanya sama ada terdapat keperluan untuk membentuk sebuah kerajaan interim sementara menunggu pembentukan sebuah Kabinet baharu, Lim berkata tidak ada keperluan dari segi perundangan.
"Tetapi pada dasarnya, ia mungkin positif," katanya.
Susulan peletakan jawatannya, Dr Mahathir dilantik oleh baginda sebagai Perdana Menteri interim mengikut Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Pelantikan tersebut bagi membolehkan Dr Mahathir menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri dan anggota Kabinet baharu dilantik.
Berikutan peletakan jawatan Dr Mahathir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, berkata Al-Sultan Abdullah pada Isnin membatalkan pelantikan semua menteri atas nasihat Perdana Menteri.
Sehubungan itu, katanya, tugas anggota pentadbiran merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik turut terhenti pada tarikh sama.
Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh pada 10 Mei 2018 selepas memimpin Pakatan Harapan (PH) menumbangkan apa yang beliau gelar sebagai sebuah kerajaan kleptokratik, sekali gus menamatkan pemerintahan enam dekad Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO di Malaysia.
-- BERNAMA
#ahli Parlimen
#bubar
#Dewan Rakyat
#kabinet
#kerajaan
#letak jawatan
#Lim Wei Jiet
#N Sivananthan
#pakar undang-undang
#peguam
#Perdana Menteri
#Perdana Menteri Interim
#Perlembagaan Persekutuan
#pilihan raya umum
#sokongan majoriti
#Timbalan Perdana Menteri