Kabinet bincang isu pencemaran Sungai Kim Kim pada Jumaat
Ain Najhan
Mac 14, 2019 22:51 MYT
Mac 14, 2019 22:51 MYT
Isu pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Jumaat untuk dibincangkan.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, isu itu antara perkara penting yang akan diputuskan memandangkan ia mesyuarat pertama selepas berlakunya kejadian berkenaan minggu ini.
"Kami semua dikemaskini setiap empat jam tentang keadaan di sana. Menteri Pendidikan, Alam Sekitar, Kesihatan dan Kerajaan Negeri Johor pun sudah turun.
"Pihak yang bertanggungjawab pun sudah diketahui dan juga bahan yang dibuang. Kita bernasib baik sebab toksin sudah dikenal pasti dengan kadar yang segera, maka antidot pun sudah dikenal pasti.
"Bila Kabinet bertemu esok dan semua maklumat itu akan dibincangkan termasuklah persoalan hukuman yang harus dikenakan kepada pihak bertanggungjawab kerana melakukan pencemaran,” katanya selepas merasmikan Program KL Bersih di sini, pada Khamis.
Dalam satu sidang media khas di Hospital Sultan Ibrahim pada Khamis, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, isu pencemaran Sungai Kim Kim tidak perlu diisytiharkan sebagai darurat kerana keadaan masih terkawal.
Jelasnya, sungguhpun perkara itu tidak pernah berlaku, tetapi dengan kepakaran pihak berkuasa termasuk pakar perubatan selain masyarakat juga tidak perlu panik dengan situasi berkenan.
Ketika mengulas mengenai Kempen KL Bersih kata Khalid, sebanyak 25,000 tan sampah yang dihasilkan warga kota setiap hari menjadi punca kepada penyakit yang membawa kepada risiko kematian.
Katanya kesedaran tentang kebersihan harus ada pada warga kota selain menjadi tanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membantu dalam pengurusan isu berkenaan.
"Kita dan DBKL bekerjasama menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar yang bersih dan sihat melalui Kempen KL Bersih demi memupuk budaya menjaga kebersihan kepada warga kota.
"Penglibatan daripada segenap lapisan masyarakat amat diutamakan dalam kempen ini terutamanya daripada sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat," ujarnya.
Jelasnya, kempen itu merupakan satu titik permulaan kepada 'Gelombang Hijau' dengan memupuk sifat kesedaran dalam kalangan masyarakat demi mencapai sasaran Bandaraya Bersih dan Hijau.
#DBKL
#Gelombang Hijau
#Hospital Sultan Ibrahim
#Johor
#kabinet
#Kementerian Wilayah Persekutuan
#kerajaan
#Khalid Abdul Samad
#KL Bersih
#Kuala Lumpur
#Mahathir Mohamad
#Menteri Wilayah Persekutuan
#NGO
#Pasir Gudang
#Sungai Kim Kim