Kabinet bincang isu kuota matrikulasi untuk bukan Bumiputera - Syed Saddiq

Hasimi Muhamad
April 23, 2019 13:09 MYT
SYED SADDIQ: Lebih baik tunggu keputusan muktamad daripada jemaah menteri supaya akan ada satu pendirian rasmi dan jelas oleh kerajaan Malaysia. --fotoBERNAMA
Isu sistem kuota bagi bukan Bumiputera untuk mengikuti Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kerajaan juga akan membuat pendirian berhubung perkara itu.
“Perkara ini, saya dimaklumkan, akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok.
“Saya rasa lebih baik tunggu keputusan muktamad daripada jemaah menteri supaya akan ada satu pendirian rasmi dan jelas oleh kerajaan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media khas sempena setahun Pakatan Harapan (PH) di kementeriannya di sini, hari ini.
BACA: 1,000 tawaran khas Program Matrikulasi kepada pelajar kaum cina B40 - Maszlee
Terdahulu, Ahli Parlimen Muar itu diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan yang bakal mengkaji sistem kuota untuk program pra-universiti tersebut.
Selain itu, beliau juga diminta mengulas gesaan Exco Pemuda Parti Peribumi Bersatu Malaysia Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir supaya sekolah vernakular turut ditutup demi kesepaduan kaum.
BACA: Kerajaan sedia kuota IPT 1,500 kepada masyarakat India
Ketika diminta menyatakan pendiriannya, Syed Saddiq berkata semua pihak perlu menunggu hasil mesyuarat esok.
“Sebagai Menteri Kabinet, saya rasa, kena tunggu hasil mesyuarat esok,” ujarnya.
Sebelum ini, Pemuda DAP mencadangkan supaya sistem kuota berdasarkan kaum untuk program itu dimansuhkan.
BACA: Isu pelajar India cemerlang tapi gagal ke matrikulasi: Kuota zaman BN telah dikurangkan?
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebelum ini dilaporkan berkata, dasar 90 peratus pelajar Bumiputera untuk program matrikulasi akan dikekalkan.
Bagaimanapun, katanya, Kabinet bakal mengkaji sama ada lebih banyak tempat akan dibuka untuk golongan bukan Bumiputera.
#Bumiputera #DAP #jemaah menteri #kabinet #kaum #Kementerian Pendidikan #kerajaan #Maszlee Malik #matrikulasi #pelajar #pendidikan #pendirian rasmi #pra-universiti #sekolah