Kabinet belum bincang isu kenaikan harga petrol, diesel - PM
Sinar Harian
Mei 5, 2024 11:45 MYT
Mei 5, 2024 11:45 MYT
SEBERANG JAYA: Kabinet belum membuat sebarang perbincangan berhubung kenaikan harga minyak petrol dan diesel selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada perbincangan serius di Kabinet berhubung penarikan subsidi diesel seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Menurutnya, laporan negatif media asing berhubung isu itu dilihat dibuat tanpa fakta sahih yang disemak terlebih dahulu.
"Ada siri laporan negatif oleh media tertentu dari beberapa negara jiran dan media antarabangsa. Saya fikir ia dibuat tanpa etika dan rujukan pada sumber yang betul selain tidak disemak terlebih dahulu.
"Contohnya isu kasino, tiada asas langsung, tidak pernah dibincangkan pada mana-mana peringkat dan ia tidak pernah atas niat atau pengetahuan saya.
"Kedua tentang sekarang, mengenai kenaikan harga, penarikan subsidi untuk diesel. Tiada perbincangan awal dalam Kabinet, tiada perbincangan tegas dibawa ke Kabinet," katanya selepas Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Pemimpin Masyarakat Permatang Pauh di sini pada Ahad.
Anwar menambah, laporan yang dibuat media asing itu berkemungkinan disebabkan pendirian kerajaan dalam isu politik dan seterusnya dijadikan bahan untuk digunakan oleh pihak pembangkang.
"Saya dapati sejak kebelakangan ini, mungkin kerana pendirian kita dalam isu-isu politik yang tegas maka ada media dan antarabangsa yang terus menyerang daripada segi berita-berita yang negatif, umpamanya kasino.
"(Ia) tidak pernah dibincangkan, tidak pernah sampai pada maklumat saya tetapi dijadikan isu yang panas. Kemudian, isu penarikan subsidi, walaupun ada perbincangan awal, tidak ada keputusan muktamad tarikh pelaksanaan kerana kaedahnya itu harus diterangkan supaya tidak membebankan rakyat.
"Prinsipnya, apa sahaja penyasaran subsidi, bagi saya tidak akan membebankan rakyat. Jadi bila media antarabangsa ini memainkan isu ini, ia akan memanfaatkan puak pembangkang yang akan menggunakannya. Seolah-olah pembangkang, kiblat dia itu media asing. Jadi dia tidak fikir fakta. Sebab itu kena tengok fakta," katanya.
Ujar beliau, sebarang pelaksanaan oleh kerajaan, ia akan dipastikan agar tidak membebankan rakyat.
"Saya lihat ini nampak berlarutan dan saya rasa kita terima prinsip kebebasan tetapi ada etika berdasarkan fakta. Dalam hal ini, Jemaah Menteri belum membuat sebarang keputusan muktamad.
"Jadi bagaimana boleh kita pastikan sekian dan sekian yang tidak sihat. Kerana kalau kita (kerajaan) nak laksanakan, saya beritahu ia (pelaksanaan itu) tidak akan membebankan rakyat seperti elektrik.
"Jadi soal pembangkang menggunakan (isu) itu, kita fahamlah hukuman kerja dia. Tetapi faktanya itu harus dijelaskan," katanya.
Anwar juga menegaskan bahawa laporan berita perlu merujuk kepada dasar dan bukannya sumber semata-mata.
"Sumber daripada industri? Tak ada sumber mana pun.
"Jadi kena rujukkan dasar. Mana boleh sumber? Kalau kerajaan nak umum, kita beritahulah, kita bagi notis. Bukan nak rahsia, kan?" tambahnya.
Sebelum ini, media asing melaporkan bahawa Malaysia akan mengurangkan subsidi bahan api menjelang Jun ini, satu pembaharuan ekonomi utama yang akan menguji sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan ketika rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.
Media terbabit, yang memetik sumber rasmi dan industri berkata, harga diesel akan diapung pada kadar pasaran dalam tempoh beberapa minggu selepas PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan ia akan disusuli dengan kenaikan berperingkat petrol dalam kadar runcit. - Sinar Harian