Kabinet bayangan tak perlu gaji khas, cukup dengan elaun jadi wakil rakyat - Penganalisis politik
Israr Khalid
Disember 20, 2022 05:00 MYT
Disember 20, 2022 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Sudah menjadi peranan pembangkang sebagai penyemak imbang kepada kerajaan, maka tidak perlu ada gaji khas untuk mereka melaksanakan tanggungjawab itu.
Malah kata penganalisis politik Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, setiap Ahli Parlimen juga sudah sedia ada diperuntukkan elaun sebagai wakil rakyat, tinggal lagi mereka perlu menjalankan amanah yang digalas.
Beliau bersetuju bahawa perlu ada kabinet bayangan oleh pembangkang sebagai cerminan kepada kerajaan, namun tidak wajar mereka diberikan gaji tambahan kerana ia bertentangan dengan tujuan dianjurkan pilihan raya.
“Lumrah kehidupan kita ada menang ada kalah, yang menang jadi kerajaan dan yang kalah jadi pembangkang.
“Tugas masing-masing jelas, kerajaan membentuk polisi dan pembangkang jadi penyemak imbang dan memastikan polisi yang dibuat itu bersesuaian dengan keperluan serta kehendak rakyat dan negara.
“Sebagai pembangkang, peranannya tetap sebagai pembangkang. Jadi kenapa perlu lagi peruntukan khas?” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Malah tegas Zaharuddin, pemberian gaji khas kepada kabinet bayangan pembangkang itu akan menambahkan lagi perbelanjaan kerajaan, di kala negara akan mendepani episod resesi pada tahun mendatang.
Maka katanya, apa yang penting kedua-dua pihak perlu memainkan peranan sedia ada yang digalas dengan sebaiknya demi kepentingan negara tanpa perlu didorong oleh unsur lain terutamanya wang ringgit.