Kabinet baru: Biar jadi aset, jangan jadi liabiliti

Haider Yutim
Mei 14, 2013 07:30 MYT
Barisan kabinet Kerajaan Persekutuan yang bakal diumumkan Rabu haruslah kompeten, kredibel dan konsisten.
Menurut penganalisis politik, Norizan Sharif, ini penting kerana tanpa tiga perkara tersebut individu yang dilantik itu akan menjadi liabiliti kepada Perdana Menteri.
Ujar beliau, ketiga-tiga perkara tersebut merupakan faktor yang menyumbang kepada ‘trust in government’ atau kepercayaan kepada kerajaan.
Katanya, isu kepercayaan atau kebolehpercayaan masyarakat terhadap kerajaan akan menjadi cabaran yang besar kepada barisan kabinet yang bakal diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Isu yang paling besar ialah Datuk Seri Najib harus selesaikan dengan barisan kabinet ini kebolehpercayaan atau kepercayaan kepada kerajaan,” kata Norizan dalam sesi temuramah Agenda Awani malam tadi.
Menurut beliau, masyarakat sekarang pada keseluruhannya tidak lagi percaya kepada kerajaan berbanding masyarakat pada zaman 1960an.
“Sebab itu saya mengatakan bahawa dalam konteks di UK, US, Australia dan banyak negara lain… dia bertukar-tukar kerajaan kerana dia tak puas hati,” kata beliau.
Selain itu Norizan berpendapat, sesiapa sahaja yang berada dalam kabinet harus merupakan aset kepada Perdana Menteri. Namun jika individu itu merupakan bagasi, dia berkemungkinan akan berhadapan dengan banyak isu.
Menyentuh tentang ciri-ciri kabinet yang bakal diumumkan, selain mampu mendokong transformasi yang di bawa oleh Najib, faktor-faktor seperti kaum, geografi (Sabah dan Sarawak), generasi muda, hirarki serta meritokrasi juga harus diambil kira.
Beliau juga mencadangkan agar saiz kabinet dikecilkan kepada hanya 10 kementerian supaya menjadi lebih mudah untuk mencari individu yang layak.
“Sebab itu saya mengatakan bahawa kalau kabinet itu dikecilkan sabenarnya lebih mudah untuk mencari orang yang layak berbanding dengan 40 orang menteri yang dicari itu.
Dan ini yang saya sebutkan antara sebab mengapa kabinet itu harus dikecilkan supaya proses mencari yang terbaik itu menjadi tidak terlalu sukar,” tambah Norizan.
Perdana Menteri dijadualkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Negara, pada 12 tengah hari nanti bagi mendapat perkenan terhadap cadangan pelantikan barisan kabinet baharu.
Baginda telah memperkenan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai menteri dan timbalan menteri diadakan di Istana Negara, 9.30 pagi Khamis.
Barisan kabinet baru itu dijangka satu pasukan yang mampu menjana idea-idea baru untuk menjayakan agenda transformasi nasional yang dicetuskan Najib.
Muka baru dari Sabah dan Sarawak juga disebut akan mengisi kekosongan wakil Cina dalam Kabinet berikutan pendirian MCA dan Gerakan tidak mahu menerima jawatan dalam kerajaan.
#Agenda Awani #kabinet #kerajaan #Najib Razak #norizan sharif
;