Kabinet baharu: Masa untuk selamatkan rakyat, pulih ekonomi, bukan politiking - Hadi Awang

Hafizi Rosli
Ogos 28, 2021 11:00 MYT
ABDUL HADI: Sekarang masa untuk menyelamatkan rakyat dan memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik, bukan masa untuk politiking. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pas mendukung kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan memberi sepenuh kepercayaan kepada barisan jemaah menteri yang diumumkan semalam.
Ia bagi meneruskan usaha menangani pandemik COVID-19, memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam negara, kata Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Pas memberi sepenuh kepercayaan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk menumpukan khidmat kepada rakyat dan menjalankan tugas masing-masing, dengan budaya kerja berprestasi tinggi berorientasikan keberhasilan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Hadi juga mengajak semua pihak untuk membantu menyelesaikan masalah negara secara bersama.
"Sekarang adalah masa untuk menyelamatkan rakyat dan memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik.
"Bukan masa untuk politiking yang tidak berkesudahan sehingga merencatkan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara secara menyeluruh," tambahnya.
#Abdul Hadi Awang #budaya kerja berprestasi tinggi #Kabinet Malaysia 2021 #Keluarga Malaysia
;