Kabinet baharu Ismail Sabri: Istana Abdulaziz jadi tumpuan hari ini

Ridauddin Daud
Ogos 26, 2021 09:51 MYT
Petugas media sudah mula berkampung di sekitar kawasan istana. -Twitter Ridauddin Daud
KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Kuantan, pada Khamis.
Dalam pertemuan itu, Ismail Sabri dikhabar akan mempersembahkan senarai cadangan barisan Kabinet kepada Al-Sultan Abdullah untuk diperkenankan.
Tinjauan di pekarangan istana mendapati anggota polis sudah mula berkawal sejak jam 8.30 pagi dan petugas media juga sudah mula berkampung di sekitar kawasan istana.
Mengikut maklumat dikongsikan kepada media, Perdana Menteri difahamkan akan tiba pada jam 10.30 pagi namun berdasarkan situasi semasa, beliau mungkin tiba lebih lewat.

Selamat pagi dari Pahang!@501Awani berada di Istana Abdulaziz, Kuantan. Difahamkan PM, DS @IsmailSabri60 akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini bagi mempersembahkan cadangan Kabinet.#AWANInews #AWANIpagi pic.twitter.com/ybLpe4LMJU

— Ridauddin Daud (@RidauddinDaud) August 26, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Secara kebiasaannya, selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenankan cadangan tersebut, Perdana Menteri akan mengumumkan barisan Kabinet untuk memimpin kerajaan.
Berdasarkan laporan media sejak beberapa hari lepas, dikhabarkan Ismail Sabri akan mengumumkannya pada Jumaat.
Sebelum ini, poster barisan Kabinet tersebar dalam media sosial yang kemudian menyebabkan Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan bahawa semua yang tersebar adalah palsu.
Ahli Parlimen Bera itu juga menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai senarai jemaah menteri yang disebarkan menerusi sosial media.
"Itu semua fake (palsu), setiap hari ada senarai baharu... bagus juga boleh bantu saya tetapi saya nak ingatkan jangan percaya, semua itu tak betul," katanya lagi.
Ismail Sabri, 61, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Sabtu lalu susulan penyandangnya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.
Tumpuan negara kini tertumpu kepada jemaah Kabinet yang akan diumumkan Ismail Sabri selepas menjawat jawatan Perdana Menteri.
Beberapa nama disebut sebagai Timbalan Perdana Menteri namun selagi tiada pengumuman rasmi, ia hanyalah khabar angin.
Astro AWANI akan terus memberikan liputan menyeluruh sepanjang upacara yang berlangsung hari ini.
Ikuti lapor langsung kami di pautan ini.
#ismail sabri yaakob #Kabinet Baharu #Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
;