Kabinet baharu guna formula '3-3-2-2'
Hafiz Marzukhi
Mei 12, 2018 09:36 MYT
Mei 12, 2018 09:36 MYT
Sepuluh ahli Kabinet Malaysia yang diterajui Pakatan Harapan bakal mengguna formula 3-3-2-2.
Formula yang dimaksudkan merujuk kepada pembahagian portfolio dalam kalangan empat parti komponen Pakatan Harapan.
DAP dan PKR masing-masing bakal mendapat tiga portfolio masing-masing, manakala Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masing-masing akan diberi dua portfolio.
"Buat masa ini tidak diketahui sama ada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan memegang apa-apa portfolio," kata sumber dalaman Pakatan Harapan kepada Astro AWANI.
Ketika ini, difahamkan, tiada wakil dari Parti Warisan Sabah (Warisan) yang akan menganggotai Kabinet dengan portfolio utama.
Sebelum ini, manifesto Pakatan Harapan telah menggariskan bahawa Perdana Menteri tidak boleh memegang portfolio Menteri Kewangan.
Pengumuman ahli Kabinet dijangka bakal dibuat di Galeri PPBM di Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya pada jam 1 petang nanti.
#Amanah
#DAP
#Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
#kabinet
#MalaysiaMemilih
#PKR
#PPBM
#Tun Dr Mahathir Mohamad