Kabinet: Aspirasi rakyat Sabah, Sarawak dan MA63 jadi keutamaan Armizan Ali
Abdul Hafiz Mustadi
Disember 3, 2022 15:23 MYT
Disember 3, 2022 15:23 MYT
KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) baharu, Datuk Armizan Mohd Ali meletakkan agenda berteraskan Perjanjian Malaysia (MA63) sebagai keutamaan beliau di Dewan Rakyat kelak.
Beliau berkata, pengalaman terlibat secara langsung dalam isu MA63 ketika bertugas di Pejabat Ketua Menteri Sabah sejak 2020 dan kerjasama dengan bekas menteri, Datuk Seri Maximus Ongkili membantu menggalas tanggungjawab itu.
"Antara agenda utama adalah untuk mengusul agenda yang berteraskan MA63. Saya telah mendapat pendedahan dan terlibat dalam perihal tanggungjawab ini semasa berkhidmat di bawah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan pengalaman bekerjasama dengan pasukan Pejabat Menteri di JPM (Sabah dan Sarawak) sebelum ini di bawah kepimpinan Ongkili.
"Saya yakin sedikit pengalaman ini akan dapat membantu pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai Menteri di JPM (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut menganggap pelantikannya sebagai suatu amanah yang besar dalam mewakili aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak yang mengharapkan perhatian dan pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada kedua-dua wilayah Borneo itu dalam usaha memperkukuhkan Persekutuan Malaysia.
"Saya diberikan portfolio yang berkait secara langsung dengan suara hati rakyat di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama.
"Aspirasi Borneo yang mengharapkan kedua-dua wilayah ini diberi perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya dalam agenda mengisi serta memperkukuhkan kelestarian Persekutuan Malaysia," katanya.
Selain Armizan, turut menganggotai kabinet Kerajaan Persekutuan dari Sabah, Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.