Kabinet akan tentukan Laporan Audit 1MDB di bawah OSA atau tidak - PAC

Rahimah Abdullah
Mei 18, 2016 09:16 MYT
Kata Hasan, erpulang kepada kerajaan sama ada untuk mengekalkan laporan itu di bawah OSA atau membatalkannya.
Keputusan sama ada Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu didedahkan kepada umum hanya ditentukan oleh Kabinet, ujar Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin.
Jelasnya, ia terpulang kepada kerajaan sama ada untuk mengekalkan laporan itu di bawah OSA atau membatalkannya.
"Kabinet minta Ketua Audit Negara buat laporan, membuat audit dan dibentang pada PAC. Berdasarkan kepada laporan audit, kita rumuskan dan bentang pada Parlimen.
"Jadi, soal sama ada kita hendak batalkan OSA itu terserah pada kerajaan. Kerajaan yang menentukan," katanya dalam sidang media di Parlimen di sini hari ini.
Jelasnya, Laporan Audit 1MDB adalah berbeza dengan Laporan Ketua Audit Negara yang melibatkan kementerian dan agensi kerajaan.
Ditanya adakah ada peluang laporan itu didedahkan secara umum oleh kabinet, ini jawapan beliau: "Itu terpulang kepada kerajaan untuk putuskan".
Beliau pada masa sama enggan mengulas persoalan adakah keperluan mempercepatkan keputusan bagi mengetahui klasifikasi laporan berkenaan .
#1MDB #Hasan Arifin #laporan audit 1mdb #OSA #PAC