"Kabinet ada bincang mengenai PRU15, tetapi lebih fokus hadapi banjir" - Saravanan
Fareez Azman
September 22, 2022 14:22 MYT
September 22, 2022 14:22 MYT
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kabinet yang berlangsung semalam (Rabu) tidak terlepas daripada membincangkan mengenai perancangan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, dalam masa sama, tumpuan Jemaah Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lebih terarah pada isu banjir.
Perkara itu disahkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan ketika ditanya mengenai hasil pertemuan mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
Menurut Saravanan, tiada sebarang keputusan dibuat mengenai tarikh PRU15, sebaliknya, perbincangan lebih kepada persediaan setiap kementerian dalam menghadapi musim tengkujuh yang diramalkan berlaku hujung tahun ini.
"Kita (Mesyuarat) Kabinet semalam walaupun ada sentuh sedikit PRU, tetapi semua Jemaah Menteri lebih fokus bencana dan sebagainya, sebab kebajikan rakyat lebih penting daripada PRU.
"Jadi lebih dirancang mengenai menghadapi musim banjir dan sebagainya, sebab kita ada pengalaman tahun lepas, ramai pemimpin di luar negara tidak dapat mengatasi isu banjir di Sri Muda dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan bersama Menteri Sumber Manusia di ibu pejabat MIC, di sini, pada Khamis.
Tambah Saravanan, mengambil kira situasi yang dilalui Disember lalu, Jemaah Menteri telah bersiap sedia dengan persiapan dalam menghadapi banjir.
"Di kawasan Sri Muda (Shah Alam) itu luar jangkaan kita, memang kerajaan sedia untuk kawasan-kawasan yang biasa banjir, tapi Sri Muda luar jangkaan itu sebab sedikit kelewatan.
"Maka kali ini kita dalam keadaan siap sedia hadapi bencana," jelas Saravanan lagi.