Kabel lampu limpah Stadium Perak hilang lagi, libatkan kerugian RM78,000

Aida Aziz
Mei 30, 2023 14:12 MYT
Rumaizi berkata, pihaknya menerusi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memasang sebanyak 17 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut dengan anggaran kos RM50,000. - Foto Astro AWANI
IPOH: Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin mengakui kabel lampu limpah di Stadium Perak, di sini sekali lagi dilaporkan hilang pada 11 Mei lalu dengan anggaran kerugian sebanyak RM78,000.
Rumaizi berkata, pihaknya menerusi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memasang sebanyak 17 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut dengan anggaran kos RM50,000.
"Kecurian itu berlaku waktu malam awal Mei. Bilik sama dipecah masuk yang menempatkan kabel dan komponen lampu limpah. Kita memang kunci (bilik) tetapi mereka (pencuri) pecahkan kunci itu.
"Kita syak kerja ini dilakukan lebih tiga orang, memang ada pengawal di kawasan pos pengawal tetapi kawasan di situ luas dan banyak lokasi mereka (pencuri) boleh masuk.
"Mereka curi salah satu komponen lampu limpah itu, atau copper (tembaga). Sebiji copper bernilai sekitar RM1,300, mereka curi dalam 50 biji.
"Kita akan pasang CCTV dan sistem penggera di setiap bilik lampu limpah itu nanti, dan keliling kawasan Stadium Perak kita akan letak 17 unit CCTV, malah pokok besar di situ pun sudah ditebang yang menjadi akses untuk mereka panjat dan masuk ke kawasan stadium," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Surat Lantikan dan Taklimat Kepada Ahli Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) dan Area Officer, di Stadium Indera Mulia, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Rumaizi berkata pemasangan CCTV itu dijangka siap sepenuhnya pada Julai ini.
Sebelum ini tular mengenai kecurian itu di akaun Facebook, TBG Super Fan yang menghantar status 'Stadium Perak, kecurian berlaku lagi'.
Status tersebut mendapat reaksi pelbagai dari peminat bola sepak Perak, termasuk ada yang mencadangkan supaya penguatkuasaan lebih ketat dan CCTV dipasang di kawasan tersebut.
Februari lalu, media melaporkan MBI mengalami kerugian dianggarkan RM135,000 selepas bilik yang menempatkan kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak dipecah masuk.
Rumaizi berkata, kejadian itu disedari ketika MBI menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bagi persiapan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang dijadualkan berlangsung pada 25 Februari.
#kabel lampu limpah #Stadium Perak #Majlis Bandaraya Ipoh #Rumaizi Baharin
;