Kabel elektrik bawah Jambatan Pulau Pinang terbakar

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 22, 2021 21:15 MYT
Kebakaran dikesan berlaku sekitar jam 4 petang dan punca sebenar masih lagi dalam siasatan. - JBPM
GEORGE TOWN: Sebahagian kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang dilaporkan terbakar petang Isnin, menyebabkan asap tebal sekali gus mengakibatkan kesesakan jalan raya di atas jambatan berkenaan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian di Kilometer 3.2 itu kira-kira jam 4.27 petang sebelum pasukan dihantar ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati kabel elektrik di bawah jambatan berkenaan terbakar.
"Tiada akses laluan untuk ke lokasi berkenaan untuk membuat pemadaman, bagaimanapun anggota kita bersama Pasukan Tindakan Kecemasan Jambatan Pulau Pinang melakukan pemadaman dengan mencari akses lain untuk ke lokasi tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Grid Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Husaini Husin, dalam satu kenyataan malam ini, berkata kebakaran itu melibatkan kabel 132kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara.
"Kebakaran dikesan berlaku sekitar jam 4 petang dan punca sebenar masih lagi dalam siasatan.
"TNB bekerjasama rapat dengan pihak PDRM, bomba serta PLUS dalam mengawal kebakaran bagi membolehkan aliran trafik di jambatan itu kembali lancar.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul akibat kejadian ini," katanya.
Tambahnya bekalan elektrik TNB kepada semua pengguna di Pulau Pinang masih stabil dan proses baik pulih kerosakan kabel yang terjejas akan dijalankan dengan segera.
#Jambatan Pulau Pinang #kebakaran #kabel #TNB #bomba #asap tebal #kesesakan jalan raya #operasi pemadaman #tiada akses
;