Kabel dasar laut: Strategi 'selektif' kerajaan punca Malaysia disisihkan - Anwar
Astro Awani
April 2, 2021 22:46 MYT
April 2, 2021 22:46 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan strategi kerajaan yang selektif untuk menarik pelaburan asing sebagai satu kegagalan.
Ia selepas Facebook mengumumkan tentang perancangannya memasang dua kabel dasar laut baharu untuk menghubungkan Singapura, Indonesia dan Amerika Utara dalam satu projek bersama Google dan syarikat telekomunikasi serantau, dan menyisihkan Malaysia.
Jelas Anwar, Malaysia sekali lagi disisihkan dan mungkin inilah matlamat yang ingin dicapai pemerintah melalui strategi ‘selektif’ untuk menarik pelaburan asing dan meningkatkan keupayaan digital negara.
“Kebijakan dan ‘strategi’ ini ternyata gagal, jika melihat bagaimana syarikat-syarikat gergasi digital ini mengelak dan menyisihkan Malaysia.
“Berita seperti ini ternyata sesuatu yang membimbangkan, dan ia adalah kehilangan besar pada negara dan juga memberi kesan pada keupayaan kita dalam mendukung pendigitalan pesat ekonomi kita.
“Rakyat Malaysia akan membayar harga yang tinggi dengan kadar kelajuan yang rendah.
“Ada beberapa laporan menunjukkan bahawa kehilangan peluang besar seperti ini akan memberi kesan negatif pada KDNK, sekurang-kurangnya 6.9%,” jelas Anwar dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, Malaysia Internet Exchange memaklumkan, negara tidak diikutsertakan dalam projek mega seperti ini kerana kebijakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang melarang kapal-kapal asing untuk melayani dan membaiki kabel dasar laut di Malaysia.
Untuk itu Anwar menegaskan, langkah kerajaan PN itu mewujudkan monopoli maya di mana Malaysia tidak mempunyai keupayaan untuk meningkatkan capaian telekomunikasi secara besar-besaran yang kini sangat diperlukan untuk membangunkan ekonomi digital.
“Saya menyatakan dukungan terhadap pembangunan keupayaan tempatan, terutamanya yang berkait dengan keselamatan negara.
“Walaubagaimanapun, saya menentang monopoli di mana ia akan menutup persaingan dan memberi kesan pada keupayaan kita dalam memacu transformasi digital.
“Kebijakan kerajaan terkait isu kabotaj memberi dampak yang amat negatif pada negara, dan meletakkan negara ini dalam keadaan yang lemah, termasuk aspek keselamatan negara,” tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.
Beliau pada masa menambah, dasar dan kebijakan pemerintah saat ini sangat tidak produktif dan lemah, dan ia akan terus memberi impak buruk pada ekonomi dan kebersaingan.
"Pendekatan yang tidak ortodoks dalam membina capaian 5G berkemungkinan akan mengalami masalah yang sama dalam hal terkait pelaburan asing.
"Saya mengulangi gesaan agar Parlimen dibuka secepat mungkin selari dengan titah YDPA bertarikh 24 Februari 2021," tambahnya.
Sebelum ini, Naib Presiden bagi Pelaburan Jaringan Facebook, Kevin Salvadori memaklumkan projek kabel dasar laut yang dinamakan Echo dan Bifrost bakal menjadi dua kabel pertama yang dipasang merentangi laluan baharu merentas Laut Jawa dan itu akan meningkatkan kapasiti keseluruhan sambungan internet Trans-Pasifik sehingga 70 peratus.
#Anwar Ibrahim
#Facebook
#Google
#KDNK
#kabel dasar laut
#ekonomi
#kerajaan
#pelaburan
#Internet
#rakyat Malaysia
#keselamatan
#Asia
#Singapura