Ka Siong persoal cara hendak kenal pasti T15

Sinar Harian
Oktober 22, 2024 18:30 MYT
Ka Siong mendakwa, usaha ini akan merumitkan ramai pihak termasuk pengendali, pekerja serta pengguna di stesen minyak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen kerajaan membangkit persoalan bagaimana kerajaan mahu mengenal pasti golongan pendapatan maha kaya (T15) dalam pemberian subsidi petrol.
Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong mendakwa, usaha ini akan merumitkan ramai pihak termasuk pengendali, pekerja serta pengguna di stesen minyak.
“Pada pendapat saya, ini adalah idea kurang sempurna dan kurang bijak yang akan merumitkan pengendali dan pekerja di stesen petrol serta pengguna ketika isi minyak serta menambah kos kepada proses menjual petrol.
“Kenapa pula 85 peratus rakyat dan stesen petrol dirumitkan hanya sebab mahu kenakan 15 peratus?
“Sekiranya kerajaan sudah kenal pasti siapa dalam golongan T15, kenapa pula kerajaan tidak kenakan sahaja levi petrol ke atas golongan ini ketika mereka memperbaharui road tax (cukai jalan)?
"Selain mengenal pasti golongan T15, kerajaan juga boleh kenakan levi petrol ke atas kenderaan petrol baharu yang bernilai RM300,000 ke atas,” katanya ketika sesi Perbahasan Peringkat Dasar Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ka Siong yang juga Presiden MCA turut mempersoal mengenai kewujudan T15 dan meminta kerajaan konsisten dengan kumpulan yang baharu diwujudkan itu.
“Tak boleh sesuka hati, sekejap T15, T18, T20, maha kaya lah. Saya menganggap pasangan guru gred DG48 ke atas dikategorikan sebagai T15 dan dianggap sebagai maha kaya...
“...ini seolah-olah menghukum pasangan suami isteri yang rajin bekerja setiap hari untuk memperolehi RM13,295 sebulan. Mana mungkin gaya hidup pasangan guru ini setaraf dengan jutawan,” katanya.
Beliau menambah, selain subsidi petrol, golongan yang dianggap maha kaya itu juga turut berdepan dengan pengurangan subsidi kesihatan dan pendidikan secara berperingkat.
Ujarnya, adalah tidak adil untuk menghukum T15 dengan penarikan subsidi kerana kelompok ini juga antara penyumbang kepada ekonomi negara.
Sementara itu, Ka Siong dalam masa sama turut mempersoal data yang akan digunakan kerajaan dalam konteks pelaksanaan subsidi berkenaan.
“Apakah fungsi sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan dimanfaatkan sepenuhnya di sini? Apa garis panduan supaya kumpulan ini tidak tersepit?” soalnya. - Sinar Harian
#Wee Ka Siong #T15 #siapa T15 #Anwar Ibrahim
;