Ka Siong nafi dakwaan peraturan baru, cat biru bahagian bampar bas sekolah
Bernama
September 28, 2021 08:00 MYT
September 28, 2021 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menafikan dakwaan kementerian itu mengenakan peraturan cat biru pada bahagian bampar bas sekolah semasa pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Malah, Ka Siong memaklumkan "peraturan" itu tidak pernah dikeluarkan kepada mana-mana pengusaha atau pengendali bas sekolah di negara ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook beliau malam tadi, Ka Siong turut berkongsi kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PUSPAKOM berkenaan dakwaan dibuat Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menerusi hantaran Facebook miliknya pada Ahad.
Ka Siong berkata:"Peraturan yang masih berkuat kuasa dan diguna pakai berkaitan aspek warna dan tanda pada semua bas sekolah pada masa ini adalah masih kekal sama dan tiada sebarang perubahan telah dibuat oleh pihak JPJ, selaras dengan peraturan di bawah Kaedah-Kaedah Bas Sekolah (Warna dan Tanda) 1987.
Melalui peraturan itu semua bas sekolah yang beroperasi hendaklah dicatkan dengan warna "Amber", manakala tulisan "BAS SEKOLAH" pada pada kenderaan tersebut hendaklah dicatkan dengan warna hitam, katanya dalam hantaran itu.
Pada 26 Sept, Guan Eng pada satu hantaran mendakwa pemilik bas sekolah membuat aduan mengenai peraturan baru oleh Kementerian Pengangkutan dan PUSPAKOM yang memerlukan mereka mengecat biru pada bahagian bampar kenderaan serta menyebabkan tambahan kos pengubahsuaian kenderaan.
JPJ dan PUSPAKOM dalam kenyataan sama pula menasihati semua pihak untuk sentiasa mendapatkan maklumat tepat serta boleh dipercayai melalui agensi kerajaan sebelum menyebarkan sebarang maklumat yang tidak diketahui keabsahan kepada orang ramai, khususnya melalui media sosial.
-- BERNAMA