Anggota Unit K9 daripada Bukit Aman Lans Koperal Aznizam Bah Jana berkata beliau bersama dua anggota dengan dua anjing pengesan tiba di kawasan itu kira-kira 10.30 pagi, 6 Dis 2023 dan melakukan pencarian di situ selama sejam lebih.
"Pada 11 pagi (6 Dis 2023) saya bersama seorang lagi anggota dan dua pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya melihat kawasan dikatakan ada orang hilang yang lari masuk ke hutan. Kami melakukan pencarian di kawasan tebing sungai hingga titi hulu sungai sebelum melintasi ke blok R apartmen, namun tiada sebarang indikasi (petunjuk) oleh anjing saya bernama 'Red'.
"Ketika itu lebih kurang 20 penduduk, kebanyakannya budak-budak, orang dewasa dan orang tua sentiasa mengikut kami dari belakang untuk mencari orang hilang. Keadaan cuaca ketika itu terang, panas dan tiada gangguan untuk pihak kami menjalankan tugas di kawasan terbabit," katanya.
Saksi pendakwaan ke-20 itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian pada hari kelapan perbicaraan kes pengabaian dihadapi ibu bapa kanak-kanak itu, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Aznizam berkata pada pandangannya K9 tidak mendapat sebarang petunjuk ekoran kawasan itu telah tercemar dengan kesan penduduk meredah kawasan berkenaan.
Kepada soalan peguam pasangan itu Harvesh Mahadeva, Aznizam bersetuju bahawa K9 tidak membuat pengesanan di koridor setiap tingkat apartmen terbabit.
Disoal semula oleh Kamarul Iman, saksi berkata pengesanan tidak dibuat di setiap koridor kerana pihaknya perlu mendapatkan kebenaran pegawai penyiasat yang mengendalikan kes orang hilang.
"Kebanyakan penghuni blok terbabit adalah Muslim, maka kami tidak mahu membebankan penduduk perlu melakukan samak. Jadi kami mampu buat di kawasan bawah sahaja," kata Aznizam.
Terdahulu, anggota K9 Bukit Aman Lans Koperal Afendy anak Henry memberitahu mahkamah bahawa K9 tidak mendapat sebarang petunjuk kehilangan kanak-kanak semasa pencarian pada 11.30 malam, 5 Dis 2023.
Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata pada hari pertama pencarian (5 Dis), kawasan anak sungai berhampiran apartmen itu agak bersemak dengan rumput tinggi, namun pada keesokannya, rumput telah 'tumbang' dan terdapat laluan di situ.
Selain itu, Afendy berkata setibanya di lokasi kejadian pada 6 Dis 2023, orang hilang itu telah ditemukan kira-kira 10 malam dan beliau ditugaskan untuk mencari stoking mangsa.
Perbicaraan bersambung Jumaat ini, manakala esok tujuh saksi pendakwaan akan membuat pengecaman lokasi kejadian dengan disertai hakim, timbalan pendakwa raya, peguam dan jurubahasa.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira kedua-duanya 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya dan mangsa dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.
-- BERNAMA
